MH Online

Laman Suara Rakyat

KUALA LUMPUR 30 SEPTEMBER 2017. Ketua Pesuruhjaya SPRM , Tan Sri Dzulkifli Ahmad (tengah barisan atas) bergambar bersama sebahagian peserta konvoi kembara jelajah anti rasuah (KEJAR'17) di Majlis Penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (KEJAR'17) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Kuala Lumpur .NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

KEJAR Berjaya Tingkat Kesedaran Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR, Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR) 2017 yang melabuhkan tirainya hari ini disifatkan berjaya dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah.

Kembara selama 13 hari bermula 18 September lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi medan menyalurkan maklumat kepada masyarakat mengenai kewujudan agensi itu dan usaha berterusan membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata KEJAR memberi peluang kepada SPRM bertemu pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pengalaman yang kami peroleh cukup bermakna dengan penuh kesedaran dan amat berharga yang tidak mampu saya gambarkan kerana setiap lokasi di setiap negeri yang kami pergi, sambutannya amat menggalakkan.

“Kembara jelajah ini berjaya mengisi naluri kemanusiaan kami dan inilah sebenarnya matlamat penganjuran KEJAR. Kami turut berpeluang menyelami rintihan serta keluhan rakyat berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa dihadapi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup KEJAR 2017 di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Dzulkifli berkata, KEJAR berjaya menonjolkan SPRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang terulung negara yang mesra rakyat tetapi digeruni perasuah.

“Program Sahabat Gerakan Revolusi AntiRasuah (GERAH) yang dilancarkan pada 1 Ogos lalu mendapat tempat di hati masyarakat dengan keahliannya kini mencecah 70,000 orang.

“Saya percaya Sahabat GERAH mampu mencecah 100,000 ahli hujung tahun ini. SPRM juga akan melancarkan pendekatan sama membabitkan murid dan pelajar dalam tempoh terdekat,” katanya.