MH Online

Laman Suara Rakyat

Kegelisahan Rakyat Adalah Hakikat Bukan Hikayat

Kegelisahan Rakyat Adalah Hakikat Bukan Hikayat

KUALA LUMPUR, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa semua pihak untuk sama-sama bergandingan dalam memfokuskan agenda bantu rakyat.

Jelasnya, kegelisahan rakyat hari ini adalah hakikat dan bukan hikayat rakyat.

“Sayu perasaan apabila mendengar rintihan isteri saya kelmarin yang menceritakan perihal ada pelajarnya di UIA yang mengambil cuti satu semester untuk bawa grab food kerana nak kumpul wang untuk membeli laptop, memandangkan pengajian di universiti ketika ini semuanya atas talian.

“Saya percaya ramai lagi mahasiswa yang alami kesukaran yang serupa. Ini tidak lagi mengambil kira puluhan yang mesej saya secara peribadi di kalangan guru-guru dan ibubapa di peringkat sekolah rendah dan menengah yang mengadu kesukaran mengikuti kelas secara atas talian kerana ramai ibu bapa yang tidak mampu menyediakan laptop atau komputer di rumah yang mencukupi untuk anak-anak belajar dalam suasana baharu musim PKPB Covid-19 ketika ini.

“Inilah hakikat bukan hikayat rakyat hari ini yang susah dan gelisah menghadapi cabaran norma-norma baharu kehidupan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sebab itulah, katanya, pendekatan banyak negara seluruh dunia yang terpaksa berbelanja defisit dengan memberikan bantuan tunai kepada rakyat mereka bukan sahaja untuk memastikan tekanan hidup rakyat dapat dikurangkan, tetapi juga aliran tunai dalam ekonomi tidak terhenti sehingga merencatkan pertumbuhan ekonomi dan membobrokkan lagi suasana.

“Justeru, ayuh semua kita sama-sama bergandingan memfokuskan agenda bantu rakyat. Yang boleh menggubal dasar, guballah dasar yang boleh menyenangkan rakyat. Yang ada kemampuan rezeki berlebihan, boleh sama-sama menyumbang membantu meringankan mereka yang memerlukan.”

Terdahulu beliau tidak bersetuju dengan ucapan perbahasan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ BN terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan oleh bekas perdana menteri Najib Razak ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

“Ini bukan sekadar hikayat, tetapi hakikat! Minta maaf ya sahabatku YB Pasir Mas! Ini bukan soal hikayat Puteri Gunung Ledang, ini soal hakikat rakyat yang cuba Ahli-Ahli Parlimen BN terutamanya Datuk Seri Najib Razak perjuangkan dan suarakan.

“Hakikatnya, Rakyat memang susah dan gelisah, rakyat memang ramai hilang pekerjaan, rakyat memang tak cukup wang untuk kehidupan, yang diminta dan disyaratkan hanya apa yang rakyat mahukan. Bukan sesukar membina jambatan untuk Sultan mahupun hidangan tujuh dulang hati nyamuk untuk dijadikan alasan menolak pinangan.

“Yang disyaratkan hanyalah untuk rakyat merasa wang mereka sendiri daripada caruman di Akaun 1 KWSP dan juga lanjutan moratorium bagi meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah hambatan dan kesempitan yang begitu mencemaskan,” tegasnya lagi.