Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Kedudukan PM Bukan Ditentukan Oleh Individu’

‘Kedudukan PM Bukan Ditentukan Oleh Individu’

KUALA LUMPUR, Parti Amanah Negara (Amanah) sekali lagi menegaskan bahawa persoalan transisi dan kedudukan Perdana Menteri hendaklah diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan bukan oleh mana-mana individu atau badan lain.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, perbincangan mengenai perkara itu oleh mana-mana pihak atau badan selain daripada Majlis Presiden PH hanya sia-sia dan tidak bermakna.

“Sepertimana majlis tersebut telah menentukan Perdana Menteri ketujuh, begitu juga majlis yang sama akan menentukan Perdana Menteri kelapan dan masa serta kaedah ia akan dilaksanakan.

“Amanah juga ingin menegaskan bahawa mandat telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk PH mentadbir negara ini secara bersama antara PKR, Bersatu, DAP dan Amanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu mendakwa gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.

Beliau turut memberi amaran kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu kerana sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.

Kenyataan Ronnie itu mendapat respons daripada pimpinan bersatu antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang mencabar Ronnie dan kepimpinan tertinggi DAP membawa usul membuang Bersatu dari komponen PH di dalam mesyuarat majlis presiden gabungan terbabit.

Selain itu Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Ulya Aqamah Husamudin menegaskan bahawa kenyataan angkuh Ronnie itu tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut Khalid berkata, sebarang cadangan bagi menubuhkan kerajaan tanpa Amanah dan DAP atau tanpa Bersatu adalah pelanggaran terhadap mandat tersebut dan tidak wajar dilayan.

Leave a Reply

Top