Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kedudukan ATM Di Arab Saudi Dikaji Semula

Kedudukan ATM Di Arab Saudi Dikaji Semula

Malaysia tidak pernah terbabit dalam operasi menyerang Yaman yang juga sebuah negara Islam, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menilai semula kedudukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi ketika ini.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa-kuasa besar dunia.

“Malahan kerajaan Malaysia terbabit secara aktif dalam Pergerakan Negara-negara berkecuali (NAM) dan pernah mempengerusikannya.

“Kerajaan sedang menilai semula keputusan kerajaan terdahulu yang menempatkan satu pasukan ATM ke Arab Saudi bagi tujuan siap siaga untuk evakuasi rakyat Malaysia di Yaman,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Mohamad berkata, kehadiran ATM di Arab Saudi secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dengan konflik di Asia Barat.

“Kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai perkara ini selepas penilaian semula selesai dijalankan,” katanya.

Semalam Badan Hak Asasi Manusia, Lawyers for Liberty, bimbang dengan pembabitan ketenteraan Malaysia dalam peperangan pakatan yang dipimpin oleh Arab Saudi terhadap Yaman yang bermula sejak 2015.

Pengarah Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen, berkata Menteri Pertahanan perlu menjelaskan kehadiran tentera Malaysia di Riyadh dan pembabitan mereka dalam perang di Yaman.

Leave a Reply

Top