MH Online

Laman Suara Rakyat

Kedegilan Muhyiddin Lepaskan Jawatan Undang Risiko Lebih Besar

Kedegilan Muhyiddin Lepaskan Jawatan Undang Risiko Lebih Besar

KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa keengganan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya apabila dikatakan hilang sokongan majoriti di Parlimen, boleh mengundang risiko perundangan besar kepada negara.

Beliau berkata, tindakan itu boleh menyebabkan semua keputusan yang diputuskan kerajaan boleh dicabar keabsahan serta keperlembagaannya.

Katanya, ia jelas meletakkan kerajaan dalam kedudukan yang terdedah kepada pelbagai pertikaian undang-undang serta risiko kerugian kewangan.

“Rakyat Malaysia sudah menyaksikan pelbagai parti politik dan Ahli Parlimen tampil dengan kenyataan menolak kepemimpinan Perdana Menteri. Semua ini boleh kita merumuskan bahawa Perdana Menteri sudah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

“Khabar bahawa Istana Negara sudah menulis untuk mendapatkan pengesahan Speaker Dewan Rakyat mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri jelas membuktikan bahawa Istana Negara sangat meragui dakwaan Perdana Menteri bahawa beliau masih mempunyai majoriti,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mohamad berkata, bagi mengelakkan negara terus berada dalam kancah kecelaruan Perlembagaan, wajar pihak Eksekutif tampil melakukan tindakan yang benar serta berperlembagaan.

Katanya, kerajaan harus memudahkan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas Perlembagaan baginda dan bukan bertindak sebaliknya.

“Tiada yang lebih penting kepada seorang Perdana Menteri selain melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan batas dan mandat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Perdana Menteri waktu ini nampaknya bersendirian mempertahankan kedudukan yang tidak boleh dipertahankan lagi. Beliau seharusnya tahu bahawa Perlembagaan ‘is non-negotiable’,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menerusi Ucapan Khas memaklumkan tindakan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah pilihan paling mudah untuk beliau menyelesaikan kemelut politik ketika ini.

Selepas itu, katanya, terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika beliau memilih keputusan melepaskan jawatannya itu.

Bagaimanapun, katanya, sehingga saat ini, tiada seorang pun Ahli Parlimen lain mampu membuktikan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.