KUALA TERENGGANU, Kebolehpasaran lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih tinggi berbanding lulusan institut pendidikan tinggi yang memilih bidang akademik, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata berdasarkan statistik tahun lepas, perkembangan kebolehpasaran lulusan TVET adalah antara tujuh hingga lapan peratus setahun mengatasi perkembangan aliran akademik iaitu hanya dua hingga tiga peratus sahaja.

“Kebolehpasaran pelajar Kolej Komuniti ialah 97 peratus, pelajar Politeknik pula 88 peratus manakala universiti biasa hanya 76 peratus, jadi kita lihat perbezaannya di situ.

“Ini akan jadi rangsangan untuk pelajar tidak hanya memilih aliran akademik, tapi boleh juga memilih bidang TVET kerana kedua-duanya ialah aliran perdana, tidak timbul soal pilihan kedua kerana negara memerlukan kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) – Kementerian Pendidikan Tinggi 2016 di sini, malam tadi.

Mengulas penganjuran MAPIM-KPT 2016 itu, Idris yang juga anggota Parlimen Besut berharap ia akan memotivasikan ilmuan dan anggota akademik untuk terus menerbitkan karya berkualiti tinggi untuk mendidik masyarakat.

Beliau berkata MAPIM mempunyai tanggungjawab besar untuk memartabatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Kini bukan sahaja generasi muda suka membaca bahan penerbitan digital, malah tabiat ini telahpun menular ke generasi pertengahan umur dan warga emas. Justeru, anggota MAPIM juga perlu bersedia menerbitkan bahan ilmiah secara digital.

“Walaupun trend ketika ini, menunjukkan peningkatan pembacaan secara digital, satu kajian yang dijalankan mendapati kepuasan membaca itu lebih tinggi jika seseorang membaca bahan bercetak atau buku fizikal, kedua-duanya bergerak seiring namun paling penting didik masyarakat suka membaca setanding di negara maju ,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *