KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keagamaan dan kerohanian merupakan aspek yang amat penting dalam pembentukan peribadi individu yang memainkan peranan dalam pembangunan sahsiah dan identiti negara.

Beliau berkata prinsip pertama Rukun Negara iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ memperjelas hakikat bahawa ia menjadi nadi pembinaan jati diri rakyat Malaysia.

“Prinsip ini membayangkan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia harus berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang diajar dan diterapkan oleh agama.

“Apabila kita berpegang teguh kepada ajaran agama, maka ia dapat membentuk kehidupan yang sejahtera. Jelasnya, kita akan bertindak sebagai insan yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara, bermula dari ketaatan dan kepercayaan kepada agama masing-masing,” katanya menerusi catatan terbaharu blog rasmi beliau, www.najibrazak.com, hari ini.

Perdana menteri berkata baru-baru ini, beliau telah menjemput rakan-rakan dalam taliannya di Twitter dan Facebook untuk berkongsi aspirasi Transformasi Nasional 2050 menerusi #TN50 dari sudut keagamaan dan kerohanian itu.

Menurutnya TN50 adalah usaha kerajaan dan rakyat untuk mencorak masa depan negara bagi tempoh 30 tahun bermula 2020 hingga 2050 dengan Malaysia harus menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam aspek ekonomi, kesejahteraan rakyat dan juga inovasi.

“Cita-cita ini sudah pastinya mampu dicapai sekiranya Kerajaan dan rakyat sama-sama menggembleng idea serta tenaga ke arah satu matlamat,” kata beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada para pengguna yang memberi cadangan-cadangan #TN50 menerusi e-mel atau laman-laman media sosial beliau.

Perdana menteri berkata cadangan-cadangan pengguna media sosial sangat menggalakkan dan menggambarkan semangat serta sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terutamanya daripada Generasi TN50.

Najib berharap agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan mengambil bahagian dalam dialog TN50 demi mencapai matlamat kita menjadikan Malaysia antara negara teratas di tangga dunia dalam aspek ekonomi, kesejahteraan rakyat dan juga inovasi.

Beliau turut berkongsi beberapa cadangan mereka termasuk Ahmad Khalid Yong yang mencadangkan agar umat Islam kembali merujuk kepada kitab suci al-Quran sebagai sumber pengetahuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Ahmad Khalid mencadangkan supaya diwujudkan sebuah ‘Quranpedia’ yang boleh menjadi sumber rujukan dan pengetahuan bukan sahaja untuk rakyat Malaysia yang beragama Islam tapi juga bukan Islam yang berminat untuk mengkaji isi kandungan kitab suci al-Quran.

“Alhamdulillah, kita telah mengorak langkah dan melakukan pelbagai usaha ke arah memartabatkan al-Quran di bumi Malaysia ini, daripada pendekatan Wasatiyyah sehinggalah kepada pewujudan Komplek Nasyrul Quran di Putrajaya yang meletakkan status kita sebagai negara pengeluar dan pencetak al-Quran terbesar di dunia selepas Arab Saudi,” kata Najib.

Selain itu, perdana menteri berkongsi cadangan Joshua Chan supaya lebih banyak dialog antara agama dianjurkan demi mewujudkan persefahaman yang lebih mendalam antara rakyat Malaysia yang berbeza agama, bangsa dan budaya.

“Cadangan ini mengingatkan saya kepada dialog TN50 yang kini giat berlangsung di seluruh pelusuk negara, satu platform dan medium dalam suasana santai, berinformasi dan terbuka bagi kita sama-sama melontarkan idea dan pendapat, demi kebaikan negara sendiri,” kata Najib.

Sementara itu, Natasha Nor Jaafar mencadangkan agar subjek pendidikan moral di sekolah rendah dirombak semula dengan menerapkan unsur-unsur persefahaman antara agama sesuai dengan status Malaysia sebagai negara berbilang kaum manakala Cynthia berpendapat bangunan keagamaan seperti masjid, kuil, gereja, gurdwara dan tokong lebih kerap menganjurkan aktiviti dan program yang mengajak masyarakat berbilang kaum untuk turut serta agar dapat dikurangkan jurang perbezaan antara rakyat Malaysia.

Najib berkata sepanjang bulan lepas, beliau telah berjumpa dan berdialog bersama-sama para penjawat awam, mahasiswa, belia dan juga para penggiat seni untuk berkongsi pendapat dan aspirasi berkenaan TN50.

“Insya-Allah, saya akan terus bertemu dengan anda semua demi mendapatkan lebih banyak feedback (maklum balas) serta cadangan,” kata beliau.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *