PUTRAJAYA, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tempoh tujuh hari kepada akhbar The Star untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung penyiaran berita muka hadapan pada Sabtu lalu bertajuk ‘Malaysian Terrorist Leader’ yang disertai gambar umat Islam sedang bersolat terawih.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata surat tunjuk sebab itu diserahkan kepada ketua pengarang akhbar berkenaan yang dipanggil ke KDN hari ini.

“Kementerian amat dukacita akan tajuk berita itu pada halaman yang turut dimuatkan gambar yang tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan berita berkenaan.

“Malah sangat tidak sesuai untuk disiarkan pada halaman yang sama kerana ia mengelirukan, menimbulkan salah faham dan prejudis terhadap umat Islam yang mungkin akan dikaitkan dengan keganasan. Ia juga secara tidak langsung mempersendakan agama Islam.

“Akhbar harian The Star diberikan tempoh tujuh hari untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, termasuk digantung permit penerbitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, KDN mengingatkan semua akhbar untuk bersama-sama memastikan kandungan penerbitan tidak mengandungi unsur yang menyentuh sensitiviti dan boleh memudaratkan ketenteraman awam.

“Pihak akhbar bertanggungjawab memastikan perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya sentiasa terpelihara,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *