Program transfomasi sukan yang dikenali sebagai ‘Perfect 10’ menjadi modal buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menagih tajaan RM50 juta, dalam fasa pertama pelaksanaannya.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin percaya KBS mampu memikat 10 penaja eksklusif yang akan menyalurkan kewangan sehingga RM10 juta setiap satu bagi keperluan aset-aset sukan negara.

Perfect 10 adalah perkongsian yang dikhususkan untuk syarikat membabitkan diri dengan pelbagai program sukan seperti yang membabitkan akar umbi Malaysia Talent ID (MyTID) dan pembangunan sukan di peringkat negeri, sehinggalah ke Program Podium untuk sukan prestasi tinggi.

Aset-aset negara yang dimaksudkan itu adalah atlet, program pembangunan sukan, serta program sukan seperti Sukan SEA, Hari Sukan Negara, FitMalaysia dan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsan.

“Kita harap dapat RM50 juta untuk fasa pertama, bergantung kepada tempoh kontrak. Penajaan sukan bukan perkara baru, sudah lama syarikat tempatan dan antarabangsa menaja aset sukan di Malaysia termasuk atlet dan program,” katanya pada sidang media selepas pembentangan ‘Sports Pitch 2016’, di sini hari ini.

Khairy berkata kementerian bersedia menawarkan peluang kepada syarikat yang berminat untuk menaja program pembangunan sukan yang dilihat dapat memberi pulangan besar kepada syarikat.

“Kita kena yakinkan mereka sukan semakin popular, prestasi sukan juga kian meningkat serta pengurusan sukan semakin mantap.

“Penaja akan diterangkan ke mana tajaan mereka disalurkan, ini adalah satu projek yang telus,” katanya

Khairy juga berkata, beliau juga akan membawa cadangan mengenai pengurangan cukai untuk penaja, kepada Kementerian Kewangan untuk diperhalusi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *