MH Online

Laman Suara Rakyat

Kawalan Sempadan Diperketat Elak Dibolosi PATI

Kawalan Sempadan Diperketat Elak Dibolosi PATI

KUALA LUMPUR, Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata justeru bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI), agensi penguatkuasaan terus memperketat kawalan, terutama di lorong tikus.

Beliau berkata, selain mengekang jenayah rentas sempadan, operasi penguatkuasaan dijalankan bagi membendung penyebaran COVID-19.

“Operasi Benteng yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak COVID-19.

“Semalam, PDRM telah mengadakan 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 26,794 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI, terutama di lorong tikus.

“PDRM berjaya menangkap seorang warga asing kerana kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 9,545 operasi nyahcemar meliputi 134 zon telah dijalankan bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan (KPKT) sejak 30 Mac lalu hingga semalam.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 12,817 premis disanitasi membabitkan 2,696 pusat perniagaan, 5,631 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), 2,545 tempat awam dan 354 pasar raya.

“Semalam, sebanyak 15 operasi sanitasi dijalankan meliputi 12 zon di enam negeri, iaitu Sabah (enam), Sarawak (dua), Melaka (dua), Perlis (dua), Kedah (dua) dan Negeri Sembilan (satu).

“Operasi sanitasi ini membabitkan 83 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 97 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain. Tujuh jentera JBPM turut terbabit Operasi Sanitasi Awam,” katanya.