MH Online

Laman Suara Rakyat

Kaum India Sokong Anwar Bertanding Di PD

Kaum India Sokong Anwar Bertanding Di PD

PORT DICKSON, Kaum India di Port Dickson mengalu-alukan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung, M Ravi berkata, kaum India di kawasan ini teruja dengan hasrat Anwar untuk bertanding di kawasan itu dan akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada bakal Perdana Menteri Malaysia ke lapan itu.

“Kita gembira dan berlapang dada atas kesudian DSAI bertanding di kawasan yang sudah sinonim dengan PKR sejak tiga penggal lalu.

“Kalau boleh Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) ini kerana tiada calon yang lebih sesuai jika dibandingkan dengan yang lain,” katanya di sini.

Katanya, keputusan yang diumumkan oleh bekas Setiausaha Agong MIC yang menawarkan diri bertanding dalam PRK ini nanti sebagai calon bebas dilihat sekadar untuk memecahkan undi kaum India.

“Rasanya itu satu kesilapan kerana kaum India bukan ‘bodoh’ tidak tahu menilai mana intan mana kaca.

“Ada juga cubaan khianat dari dalam parti sendiri dan juga parti komponen namun kita percaya ia akan diselesaikan pimpinan parti Pakatan Harapan (PH). Apa yang penting, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga telah berjanji akan turut membantu berkempen sepanjang PRK ini nanti dan pastinya kita menantikan satu sejarah tercipta di Port Dickson apabila Perdana Menteri datangnya dari Negeri Sembilan,” katanya.

Ravi yang bertanding sebagai Ketua Cabang Port Dickson juga tidak bersetuju wujudnya kem- kem yang boleh menyebabkan perpecahan parti.

Katanya, beliau kagum kesediaan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakan jawatan bagi memberi laluan kepada DSAI.