MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Kami Tidak Berada Di Landasan Yang Betul’

'Kami Tidak Berada Di Landasan Yang Betul'

Pertahanan veteran Barcelona, Gerard Pique menggambarkan kekalahan 8-2 dalam Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich sebagai ‘memalukan’ dan mendakwa kelab berkenaan “berada di tahap terendah.”

Thomas Mueller dan Philippe Coutinho masing-masing meledak dua gol ketika pasukan Jerman itu membelasah Barca tanpa belas kasihan.

Ivan Perisic, Serge Gnabry, Joshua Kimmich dan Robert Lewandowski juga menemui sasaran buat Bayern manakala gol Barca hadir menerusi jaringan sendiri David Alaba dan Luis Suarez.

“Kami berada di tahap terendah. Ini bukanlah kali pertama atau kedua, atau ketiga. Kami tidak berada di landasan yang betul,” kata Pique.

“Jurulatih dan pemain masing-masing mengikutinya, tapi sudah beberapa tahun sejak kami benar-benar kompetitif pada tahap Eropah.

“Kami perlu berfikir secara dalaman dan menentukan apa yang terbaik buat kelab, buat Barca. Malam ini ia tidak boleh diterima buat Barcelona.”

Kali terakhir juara lima kali Barcelona, menang Liga Juara-Juara ialah pada 2015 dan kekalahan hari ini berlaku selepas tewas gelaran liga kepada Real Madrid.

“Ia perlawanan yang teruk. Ia meninggalkan perasaan yang buruk, memalukan,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

“Ia sukar diterima tetapi saya harap ia berguna untuk sesuatu, untuk kami fikirkan.” – AFP