Pegawai dan kakitangan di Kedutaan Korea Utara di Malaysia tidak dibenarkan keluar dari negara ini berkuat kuasa serta merta, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Luar Korea Utara yang tidak membenarkan rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen telah mengeluarkan arahan serta merta bahawa tidak ada mana-mana pegawai atau kakitangan yang berada di Kedutaan Korea Utara dibenarkan keluar dari negara ini.

“Keputusan ini merupakan arahan berkuat kuasa serta-merta kepada semua pintu-pintu keluar Jabatan Imigresen di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Parlimen, Kuala Lumpur, Selasa.

Arahan itu dikeluarkan sejurus selepas Pyongyang mengharamkan semua rakyat Malaysia di Korea Utara meninggalkan negara itu, menurut media negeri, Selasa, menyebabkan mereka berpotensi menjadi ‘tahanan’ di tengah-tengah ketegangan hubungan diplomatik antara Pyongyang dan Kuala Lumpur.

“Semua warga Malaysia di DPRK dilarang meninggalkan negara ini buat sementara waktu sehingga insiden yang berlaku di Malaysia dapat diselesaikan,” menurut pegawai di Korea Central News Agency, memetik Kementerian Luar.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk melakukan tidak balas tetapi ia harus dibuat apabila negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia melakukan tindakan di luar dari ketatasusilaan dan kezaliman diplomatik.

Beliau menambah, tindakan yang sama itu dibuat berikutan Korea Utara memanipulasikan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

“Kita mahu menghantar mesej yang jelas kepada negara berkenaan bahawa jangan menunding jari kepada malaysia dan merendah-rendahkan tahap malaysia sebagai negara berdaulat yang telah menjalankan semua siasatan berdasarkan profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan kimia dan lain-lain agensi penguatkuasaan,” tegas Zahid.

Ditanya berapa ramai rakyat Malaysia di Korea Utara, Ahmad Zahid berkata, maklumat itu akan diperoleh daripada Kementerian Luar.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *