MH Online

Laman Suara Rakyat

Kadar Pengangguran Rakyat Semakin Meningkat

Kadar Pengangguran Rakyat Semakin Meningkat

Baru-baru ini Jabatan Perangkaan Malaysia telah melaporkan kadar pengangguran individu di negara ini telah meningkat kepada 778,800 orang pada April 2020 iaitu peningkatan sebanyak lima peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ianya juga adalah jumlah yang tertinggi semenjak tahun 1989. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa peningkatan kadar penggangguran adalah susulan daripada penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu adalah laporan setakat April 2020 dan tidak termasuk Mei dan Jun 2020.
[https://www.bharian.com.my/…/778800-penganggur-setakat-apri…]

Walaupun kini, Kerajaan telah membenarkan kebanyakan premis perniagaan dan industri komersial menjalankan perniagaan masing-masing dengan norma baharu, tetapi laporan berkaitan penutupan operasi dan perniagaan oleh beberapa sektor perniagaan seperti perhotelan dan perkhidmatan serta ditambah pengecilan operasi perniagaan oleh beberapa syarikat besar sangat membimbangkan.

Tempoh morotarium yang diberikan oleh pihak bank terutama berkaitan pinjaman perumahan dan sewa beli kenderaan bagi meringankan bebanan rakyat menghadapi kemelesetan ekonomi di taktala tempoh PKP juga bakal tamat pada 30.9.2020.

Ini serba sedikit bakal memberi bebanan kepada rakyat yang masih menganggur dan tidak mempunyai pekerjaan selepas tempoh morotarium tamat.
Adakah negara ini bakal melihat peningkatan jumlah rakyat yang tidak dapat membayar ansuran bulanan dengan pihak bank terutama berkaitan pinjaman perumahan dan sewa beli kenderaan.

Perkara ini hanya boleh dijawab apabila ada laporan berkaitan pertambahan jumlah berkaitan individu bankrap, rumah dilelong, penarikan kereta dan sebagainya pada hujung tahun ini atau awal tahun 2021. Sekiranya perkara ini berlaku ianya pasti akan memberi tekanan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada institusi kewangan dan juga negara.

Rakyat pada waktu ini bukan sengaja tidak membayar hutang atau pinjaman dengan pihak bank, tetapi ianya disebabkan mereka tidak mempunyai pekerjaan dan masih menganggur. Ramai yang mengadu dengan saya dan menyatakan bahawa mereka sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencari pendapatan baru atau menambah pendapatan, tetapi cabaran yang dihadapi kini sangat tinggi terutama bagi mereka yang berniaga kecil-kecilan, mereka yang sudah berumur sewaktu diberhentikan kerja dan amat sukar untuk mencari kerja baru di usia yang agak senior.

Ada yang cuba berniaga tetapi persaingan yang tinggi dan sikap rakyat yang masih berhati-hati untuk berbelanja dan banyak lagi aduan yang diterima oleh mereka yang tidak bernasib baik.

Saya mengakui dan memberi kredit di atas usaha yang dibuat oleh kerajaan bagi membantu rakyat terutama berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN, Pakej Rangsangan Khusus PKS, Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan yang terbaharu Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan oleh TNB.

Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa dan peningkatan kadar pengangguran rakyat, saya memohon kepada kerajaan untuk menyediakan langkah-langkah tambahan dengan segera agar kita dapat mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan rakyat, mengelakkan peningkatan jumlah individu bankrap, memastikan tiada rumah yang didiami rakyat dilelong oleh bank akibat kegagalan membayar ansuran bulanan dan yang paling penting menyelamatkan ekonomi rakyat dan negara.

Saya percaya kemampuan kerajaan dalam mencari solusi kepada masaalah pengangguran yang dihadapi oleh rakyat ketika ini. Saya juga faham cabaran yang dihadapi oleh pihak kerajaan seumpama pepatah “Berat mata memandang, Berat lagi bahu yang memikul”.

Tetapi percayalah, apabila kita ikhlas dan jujur membantu rakyat, Allah SWT pasti akan membantu kita mencari jalan keluar kepada setiap masaalah yang kita hadapi.

 

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 

Presiden UMNO