MH Online

Laman Suara Rakyat

Kadar Pemalsuan Ringgit Rendah

Kadar Pemalsuan Ringgit Rendah

KUALA LUMPUR, Kadar pengedaran mata wang palsu di Malaysia masih berada pada tahap rendah, berbanding beberapa negara jiran lain.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, berkata mata wang negara dilengkapi antara 10 hingga 15 ciri-ciri keselamatan bagi menangani risiko pemalsuan didalangi pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), beliau berkata, kadar pemalsuan mata wang yang dikesan adalah 1.4 helai bagi setiap juta (ppm) pada 2016 dan 1.2 helai (2019), manakala separuh pertama tahun ini ialah 1.0.

“Sekiranya wujud aduan mengenai edaran mata wang palsu, ia boleh dikemukakan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya pada soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai kegiatan pengedaran mata wang palsu yang didakwa semakin meruncing di Malaysia, selain langkah BNM untuk mengekang kegiatan berkenaan.