Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Kadar Kelulusan Pinjaman Perniagaan 70-73% – BNM

Kadar Kelulusan Pinjaman Perniagaan 70-73% – BNM

Kadar kelulusan bagi pinjaman perniagaan kekal pada 70-73 peratus di sebalik khabar angin bahawa kadar itu akan susut lebih banyak disebabkan bank mengetatkan garis panduan pinjaman mereka, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim.

“Kami telah melihat pinjaman perniagaan seperti pinjaman korporat dan pinjaman projek rumah mampu milik. Kadar kelulusan masih kekal pada sekitar 70-73 peratus, dan dalam soal berkaitan akses kepada pembiayaan, kita tidak mempunyai kebimbangan yang tertentu.

“Bagaimanapun, kami sedar bahawa mungkin terdapat syarikat yang terhalang daripada mendapat pembiayaan, dan dalam menangani masalah ini, pada Februari lalu, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), melancarkan platform rujukan pembiayaan/pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang pertama di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017 di sini, pada rabu.

CGC, yang 78.65 peratus dimiliki oleh BNM, menyasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih 2,000 PKS melalui platform imSME yang dilancarkan pada tahun ini.

Muhammad berkata platform itu akan memberi manfaat, antaranya kepada perusahaan mikro serta kecil dan sederhana.

Ia berfungsi sebagai pusat sehenti dalam talian bagi pinjaman/pembiayaan PKS dengan menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh bank dan agensi yang mengambil bahagian.

Muhammad juga berkata banyak permohonan pinjaman ditolak disebabkan cara ia diproses dan dibentangkan; dan platform khidmat nasihat itu dapat membantu meningkatkan kadar kelulusan pinjaman.

“Bank berada dalam perniagaan yang memberikan pinjaman… jika mereka tidak memberikan pinjaman, mereka tidak akan mendapat apa-apa keuntungan dan tidak dapat membayar pendeposit,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan syarikat insurans asing untuk pengecualian ke atas arahan untuk mengurangkan pegangan saham mereka dalam operasi tempatan, Muhammad berkata: “Mereka dalam peringkat rundingan (dengan pelabur domestik). Oleh itu, biarkan rundingan diteruskan…kita tidak terburu-buru.”

Dilaporkan syarikat insurans asing telah memberikan komitmen mereka kepada bank pusat untuk mengurangkan pegangan saham mereka apabila mereka mula mendapat lesen mereka dan bank pusat memberi mereka tempoh sehingga Jun 2018 untuk memenuhi janji mereka.

Pada tahun lepas, BNM meminta syarikat insurans asing untuk meningkatkan pemilikan tempatan bagi operasi mereka di Malaysia kepada sekurang-kurangnya 30 peratus untuk meningkatkan penyertaan domestik dalam industri.

Leave a Reply

Top