Anda di sini!
Utama > Sukan > Juve Mula Latihan Tanpa Ronaldo

Juve Mula Latihan Tanpa Ronaldo

Giorgio Chiellini menerajui sesi latihan secara individu pemain-pemain Juventus di pusat sukan kelab semalam, manakala Cristiano Ronaldo memulakan pengasingan dua minggu sebaik pulang ke Itali.

Kapten Chiellini, 35, tiba awal dengan pertahanan Itali Leonardo Bonucci dan pemain tengah Aaron Ramsey menyusul selepas itu.

Miralem Pjanic muncul bersama-sama Juan Cuadrado, Mattia De Sciglio, Federico Bernardeschi dan Daniele Rugani.

Juara Serie A Juventus berkata sesi latihan berkenaan, yang dibenarkan selepas mendapat lampu hijau daripada kerajaan Itali pada Ahad, dijalankan secara individu dan kehadiran berperingkat bagi memenuhi peraturan ditetapkan.

“Sehari selepas ujian dijalankan semalam di J Medical, beberapa pemain Juventus mula berlatih di Pusat Latihan Continassa, di mana mereka secara rasmi memulakan proses membina kembali kecergasan,” kata kelab itu.

Ronaldo kembali ke Itali selepas dua bulan mengasingkan diri di kepulauan Madiera, dan kali terakhir dia beraksi bersama Juve ialah ketika menentang Inter Milan pada 8 Mac secara tertutup.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu kembali bersama keluarganya ke Turin menaiki jet peribadi, dan dikuarantin sementara menunggu ujian.

Kementerian dalam negeri membenarkan pemain-pemain kembali ke pusat latihan kelab dua minggu lebih awal daripada jangkaan, sekali gus memberi harapan kepada musim 2019-20 untuk bersambung.

Selain Juventus, Atalanta, Bologna, Udinese, Sassuolo dan Lecce juga memulakan sesi latihan masing-masing.

Namun menteri sukan Vincenzo Spadafora memberi amaran yang latihan secara berkumpulan perlu menunggu sehingga 18 Mei, dan ia masih belum dipastikan sama ada perlawanan boleh bersambung ketika negara itu bergelut memerangi COVID-19 yang mengorbankan lebih 28,00 nyawa di Itali.

“Jangkaan realistik boleh dikatakan pada pertengahan Mei. Ia pasti pelik jika seorang menteri sukan memusnahkan bola sepak,” kata Spadafora. – AFP

Leave a Reply

Top