Anda di sini!
Utama > Sukan > Juve Belasah Udinese 4-1

Juve Belasah Udinese 4-1

Moise Kean mencuri tumpuan apabila menyumbat dua gol ketika Juventus membelasah Udinese 4-1 sekali gus mengukuhkan kedudukan gergasi Itali itu di tangga teratas Serie A dengan kelebihan 19 mata, pagi tadi.

Ia adalah perlawanan pemanas badan buat kelab dengan julukan The Old Lady itu menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, Rabu ini.

Cristiano Ronaldo, Mario Mandzukic dan Paulo Dybala memulakan aksi di bangku simpanan menjelang aksi menentang Atletico di mana Juventus perlu bangkit mengatasi defisit 2-0 pada aksi kedua 16 terakhir di Turin.

Bagaimanapun, Kean yang baru berusia 19 tahun menunjukkan belangnya bersama pasangannya Federico Bernardeschi di jentera serangan apabila menyumbat dua gol pada separuh masa sekali gus yang pertama buat dirinya dalam Serie A musim ini.

Pemain muda antarabangsa Itali itu membuka akaun gol selepas 11 minit perlawanan apabila menyudahkan hantaran Alex Sandro sebelum menyumbat gol kedua enam minit sebelum rehat dengan menewaskan Juan Musso.

“Kean sangat baik ketika melakukan penyudah tetapi dia perlu meningkatkan pergerakan dan kawalan bola tetapi ia adalah biasa buat budak yang lahir pada¬† 2000,” kata jurulatih Massimiliano Allegri.

“Namun, sudah tentu ia perlawanan berbeza menentang¬† Atletico Madrid, kami perlu tajam dan pantas, tetapi kami sudah bersedia.”

Kean juga berjaya mendapatkan penalti pada minit ke-67 selepas dia dikasari dengan Emre Can menyempurnakannya sebelum Blaise Matuidi melengkapkan kemenangan bergaya dengan menyudahkan hantaran Rodrigo Bentancur empat minit kemudian.

Kean yang dikeluarkan 10 minit sebelum tamat bagi membolehkan Hans Nicolussi Caviglia membuat penampilan sulung, mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong.

Gol sagu hati pelawat dijaringkan pemain gantian, Kevin Lasagna yang masuk selepas rehat menggantikan Ben Wilmot, yang gagal memberi impak berkesan selepas perpindahan dari Watford Januari lalu. – AFP

Leave a Reply

Top