KUALA LUMPUR, Seorang jurulatih pasukan renang kebangsaan ditahan di Sri Petaling, di sini, semalam, selepas dipercayai terbabit merogol seorang atlet.

Suspek berusia 35 tahun, berasal dari China dan kini berstatus taraf penduduk tetap (PR), ditahan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sekitar jam 12.30 tengah hari.

Dia ditahan selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata pihaknya akan mendapatkan kebenaran menahan reman suspek hari ini.

“Setakat ini, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Kuala Lumpur.

“Berdasarkan siasatan yang dibuat, kejadian rogol berkenaan berlaku sekitar September lalu, namun identiti mangsa tidak akan didedahkan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau mengesahkan setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan daripada seorang mangsa.

Sementara itu, sumber berkata, suspek berkenaan sebelum ini terbabit dengan program ‘KITA JUARA’ pada acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara renang disiplin air.

Namun, mangsa tidak terbabit dalam mana-mana acara pada KL2017, yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos lalu.

Suspek yang juga bekas atlet Olimpik sudah berada di negara ini sejak lebih lima tahun lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *