MH Online

Laman Suara Rakyat

Junta Myanmar Didakwa Lakukan Pembunuhan Beramai-Ramai

Junta Myanmar Didakwa Lakukan Pembunuhan Beramai-Ramai

NEW YORK, Duta Myanmar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang enggan melepaskan jawatannya walaupun dipecat junta tentera selepas rampasan kuasa Februari lalu, mengingatkan badan dunia itu mengenai laporan pembunuhan beramai-ramai oleh pihak tentera.

Kyaw Moe Tun mengirimkan surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Selasa lalu, mendakwa seramai 40 mayat ditemui di bandar Kani di kawasan Sagaing di barat laut Myanmar, bulan lalu.

Tentera Myanmar bagaimanapun menafikan pembunuhan beramai-ramai itu.

AFP juga tidak dapat mengesahkan laporan itu susulan sekatan rangkaian talian di kawasan terpencil berkenaan.

Melalui suratnya itu, Moe Tun memberitahu tentera menyeksa sebelum membunuh 16 mangsa terdiri daripada lelaki di perkampungan kawasan terbabit sekitar 9 dan 10 Julai lalu, selepas kira-kira 10,000 penduduk melarikan diri.

Beliau berkata, 13 mayat lagi ditemui dalam tempoh beberapa hari selepas dibunuh dalam pertempuran antara pejuang tempatan dan pihak berkuasa pada 26 Julai.

Katanya, 11 lagi mangsa termasuk kanak-kanak berusia 14 tahun dibunuh sebelum dibakar di perkampungan berasingan pada 28 Julai lalu.

Menerusi surat berkenaan, Moe Tun mengulangi permintaannya untuk gencatan senjata global membabitkan pentadbiran junta dan komuniti intervensi kemanusiaann darurat.

“Kita tidak boleh membiarkan pihak tentera terus-terusan melakukan kekejaman seperti ini di Myanmar.

“Inilah masa untuk PBB khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan ,” katanya kepada AFP.

Myanmar berdepan krisis politik sejak tentera menggulingkan kepimpinan awam termasuk menahan Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi, pada 1 Februari lalu.

Menurut kumpulan pemantau tempatan, sejak itu, pertempuran termasuk tindakan ganas tentera membunuh lebih 900 orang.

Moe Tun dengan tegas menolak kepimpinan tentera itu dan menolak dakwaan junta bahawa beliau tidak lagi mewakili Myanmar, namun PBB masih menganggapnya sebagai utusan yang sah.

Ketua junta Myanmar Ahad lalu berkata, pilihan raya akan diadakan dan pengisytiharan darurat ditamatkan pada Ogos 2023, sekali gus melanjutkan tempoh permulaan rampasan kuasa yang sepatutnya hanya setahun. – AFP