Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jumlah Tangkapan Ingkar PKP Menurun 21.18%

Jumlah Tangkapan Ingkar PKP Menurun 21.18%

KUALA LUMPUR, Kadar tangkapan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua di seluruh negara, mencatatkan penurunan sebanyak 21.18 peratus.

Penurunan kadar tangkapan membabitkan 413 individu semalam, berbanding 524 orang kelmarin, sekali gus mencerminkan segenap lapisan masyarakat kini semakin patuh kepada arahan PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan seramai 380 orang direman sehingga kini, manakala 33 yang lain diberikan jaminan dan 362 individu dituduh di mahkamah.

“Memang ada penurunan dari segi tangkapan, justeru saya berharap pola ini berterusan kerana ia memberikan gambaran pematuhan dalam kalangan rakyat semakin meningkat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam mengadakan 731 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Selain itu, katanya, pemeriksaan terhadap 426,764 kenderaan di sekatan jalan raya dilakukan supaya rakyat mematuhi PKP yang berkuat kuasa sehingga 14 April ini.

“PDRM juga lakukan 26,202 pemeriksaan mengejut, termasuk 4,174 premis perniagaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata operasi nyah cemar dilaksanakan di 426 kawasan, membabitkan 11 negeri semalam.

Katanya, ia termasuk 170 balai polis dan 38,140 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang juga dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi penularan wabak COVID-19.

“Bagi memudahkan pengurusan premis kediaman berstrata, mesyuarat hari ini bersetuju untuk benarkan pengurusan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Bagaimanapun, kelulusan ini hanya membenarkan dua daripada jawatan kuasa pengurusan untuk bekerja dan menyelia hal ehwal kediaman berstrata,” katanya.

Leave a Reply

Top