Malaysia dijangka mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM1.5 trilion tahun ini melalui usaha kerajaan dalam menjalin hubungan dua hala dengan beberapa negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kementeriannya sedang mengkaji menjalinkan kerjasama dengan negara seperti India dan Iran untuk meningkatkan jumlah perdagangan.

Menurutnya, sudah tiba masanya Malaysia mencari pasaran baharu selain rakan kongsi dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand.

“Kini, kita (Malaysia) dalam usaha  mengadakan perbincangan  dengan India dan Iran bagi memastikan perdagangan berkembang,” katanya ketika ditemui media pada majlis rumah terbukanya, semalam.

Pada perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, pihaknya juga sedang mengkaji untuk membuka pasaran di negara Timur Tengah, Bangladesh, Pakistan dan Amerika Selatan.

Ka Chuan berkata, setakat ini FTA dan Kesatuan Eropah (EU) masih berunding dan sebaik sahaja perjanjian  ditandatangani, secara tidak langsung memberi manfaat kepada Malaysia.

“Kita mungkin akan ketinggalan tanpa FTA dan EU,  kerana perlu membayar cukai bagi sesetengah barangan yang dieksport,” katanya.

Ka Chuan memaklumkan lagi, jumlah perdagangan bagi tahun 2015 adalah sebanyak RM1.466 trilion manakala pada 2014 adalah sebanyak RM1.448 trilion.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *