MH Online

Laman Suara Rakyat

Jumlah Penumpang Penerbangan Berkurangan Kepada 26.6 Juta Tahun Ini

Jumlah Penumpang Penerbangan Berkurangan Kepada 26.6 Juta Tahun Ini

KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang akan berkurangan antara -72.8 hingga -75.6 peratus atau 26.6 juta hingga 29.7 juta pada tahun ini, berbanding 109.2 juta tahun lalu kesan pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, berkata penularan wabak COVID-19 bukan hanya menjejaskan industri penerbangan negara bagi sektor syarikat penerbangan perkhidmatan penuh tetapi juga syarikat penerbangan perkhidmatan tambang rendah.

Katanya, statistik menunjukkan aliran penurunan permintaan penumpang domestik dan antarabangsa bermula 1 Mac lalu.

“Jumlah permintaan penumpang berkurangan daripada 280,321 sehari pada bulan Januari lalu kepada 59,378 sehari pada bulan September,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin mengetahui mekanisme untuk membantu serta memulihkan semula industri penerbangan tambang rendah.

Hasbi menjelaskan syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh masa tiga tahun untuk pulih sepenuhnya daripada impak wabak COVID19, tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak itu di dalam dan luar negara.

Beliau menjelaskan sebagai persediaan kepada pembukaan sektor pengangkutan udara, kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi telah bersetuju antara lain supaya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengurangkan caj pendaratan dan parkir pesawat melalui mekanisme kontra.

“Di samping itu, berdasarkan kepada saranan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos 2020, lebih banyak kelonggaran sudah diberikan oleh pihak kerajaan.

“Ini termasuk kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri dan pengecualian penjarakan fizikal dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

“Kelonggaran ini meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan udara bagi sektor domestik,” katanya.

Selain itu, katanya Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan syarikat penerbangan terus bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan bagi menggerakkan dan memulihkan sektor pelancongan domestik.

Beliau menjelaskan bagi maksud menggerakkan sektor pelancongan antarabangsa, Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan usaha Kerajaan dalam melaksanakan konsep gelembung perjalanan ke beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

“Melalui konsep itu, penerbangan dan penumpang dari mana-mana negara yang berada dalam kategori hijau akan dibenarkan memasuki Malaysia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) tertentu,” katanya.

Beliau berkata, cadangan gelembung perjalanan itu adalah tertakluk kepada rundingan yang sedang diadakan di antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Luar Negeri dengan negara terbabit.