MH Online

Laman Suara Rakyat

Jumlah Kematian Pesakit Covid 19 Meningkat Di Lubnan

Jumlah Kematian Pesakit Covid 19 Meningkat Di Lubnan

Lubnan semalam mencatatkan jumlah kematian harian akibat COVID-19 seramai tujuh orang dan jangkitan baharu 309 kes, ketika negara itu berdepan bencana letupan di pelabuhan Beirut seminggu lalu.

Ia menjadikan sejak wabak itu dikesan di negara ini, jumlah keseluruhan jangkitan adalah sebanyak 7,121 kes dengan 87 kematian, menurut kementerian kesihatan.

Sementara itu, angka harian terbabit masih rendah dibandingkan dengan beberapa negara lain, sekalipun terdapat peningkatan tatkala kemudahan hospital semakin terhad dengan kemasukan mangsa yang cedera akibat letupan 4 Ogos lalu.

Pegawai kesihatan memberi amaran bahawa kekacauan yang disebabkan oleh letupan yang mengorbankan 171 orang dan mencederakan 6,000 berisiko menyebabkan lonjakan jangkitan.

Gabenor Beirut menganggarkan seramai 300,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat letupan yang melanda kawasan ibu kota.

Sekurang-kurangnya 15 kemudahan perubatan, termasuk tiga hospital besar mengalami kerosakan struktur dalam letupan itu, menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua hospital awam, Firass Abiad menyatakan kebimbangan terhadap situasi buruk ketika ini berikutan suasana yang menyebabkan orang ramai tidak mengamalkan penjarakan fizikal, ditambah dengan persekolahan bakal dibuka serta musim selesema akan tiba tidak lama lagi, sekali gus memberi amaran beberapa minggu akan datang menjadi tempoh kritikal.

“Kejadian letupan itu menyebabkan orang ramai tidak menumpukan perhatian pada pandemik. Kita tidak boleh membenarkan virus itu datang tanpa bersedia,” katanya dalam media sosial. – AFP