MH Online

Laman Suara Rakyat

Jualan Proton Melonjak

Jualan Proton Melonjak

KUALA LUMPUR, PROTON mencatatkan jualan 4,820 unit pada November, lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pegangan pasaran pada peratusan jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 10.2 peratus, meskipun angka sebenar hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

PROTON dalam satu kenyataan berkata sama seperti bulan sebelum ini, pengeluar kereta nasional itu masih mengekalkan strategi harga yang menarik pada November serta dasar harga tanpa cukai jualan dan perkhidmatan (SST), di mana PROTON menyerap jumlah cukai untuk kesemua modelnya.

“Promosi ini mendapat tarikan dan sokongan daripada pembeli. Kami meneruskan dasar harga tanpa SST untuk semua model semasa bagi memudahkan pelanggan memiliki kereta PROTON.

“Kami turut membawa jenama syarikat untuk lebih mudah didekati dengan menyertai aktiviti seperti siri jelajah dan karnival, sekali gus menyediakan lebih banyak saluran untuk melihat, menguji dan membeli kereta PROTON,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, berkata pada bulan dikaji terdapat kekangan sumber yang mengehadkan bilangan kereta yang dapat dihasilkan.

“Justeru, dengan peningkatan jualan keseluruhan kami berbanding bulan yang sama pada tahun 2017, syarikat ingin memohon maaf kepada semua pengedar kerana tidak dapat memenuhi komitmen kami,” katanya.

Sementara itu, bulan ini, PROTON akan meraikan kemenangan S1K 2018 baru-baru ini dengan promosi “Rebat Juara”.

Sehubungan itu, PROTON menawarkan rebat sehingga RM3,000 untuk empat modelnya iaitu Proton Ertiga, Iriz, Persona dan Saga.

“Kemenangan PROTON di S1K 2018 menggunakan Proton Iriz membuktikan kelajuan dan pengendalian yang ada dalam setiap model Proton.

“Ia turut mempamerkan kebolehan kereta kami di mana pemenang perlu mengharungi 1000 kilometer (km) pemanduan yang sukar dalam situasi perlumbaan.

“PROTON percaya akan nilai sukan permotoran yang memberi manfaat kepada jenama dan produk jadi kami akan terus mengambil bahagian dalam pelbagai perlumbaan di masa hadapan bersama pasukan R3 Proton,” tambah Abdul Rashid.

Dalam perkembangan lain, Proton X70 terus menjadi tumpuan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) di mana tarikh pelancaran ditetapkan pada 12 Disember ini.

Berikutan tempahan pra-pelancaran Proton X70 yang terus meningkat, orang ramai memenuhi tapak pameran PROTON di KLIMS’18 untuk melihat dengan lebih dekat kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama PROTON.

PROTON turut mengumumkan penarafan lima-bintang ASEAN NCAP yang dicapai oleh model terbarunya dalam pusingan ujian dan pengkelasan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang dianugerahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).