MH Online

Laman Suara Rakyat

JPM Terima 395 Input Gubal RUU

JPM Terima 395 Input Gubal RUU

KUALA LUMPUR, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerima 395 cadangan dan input daripada pihak awam bagi menggubal Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan COVID-19.

Menteri di JPM, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sehingga 5 Jun lalu, sebanyak 331 cadangan diterima Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) melalui pautan dan emel yang disediakan bahagian itu.

Katanya, sebanyak 64 cadangan lagi diterima pihaknya menerusi platform Perundingan Awam Bersatu (UPC) menerusi kerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

“BHEUU, JPM juga mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Majlis Peguam, Pertubuhan Perundangan Sabah dan Persatuan Peguam Sarawak.

“Hebahan menerusi media juga dilaksanakan supaya semua pihak berkepentingan dapat memberikan input masing-masing dalam jangkamasa yang ditetapkan.

“Maklumat yang diperoleh akan dianalisis oleh Pasukan Petugas di BHEUU, JPM dan dimurnikan bersama kementerian atau jabatan berkaitan.

“Cadangan RUU ini akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses penggubalan, sebelum dibawa ke sidang Parlimen pada Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Penggubalan RUU itu adalah komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat dan industri.

Penggubalannya antara lain akan turut mengambil kira isu obligasi kontrak serta beban kewangan yang membabitkan syarikat dan individu.

Takiyuddin berkata, kementerian dan jabatan berkaitan turut mengadakan sesi libat urus dengan agensi pelaksana termasuk pihak industri, organisasi masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah bidang kuasa mereka serta mempertimbang isu rentas sektor yang menyentuh bidang kuasa masing-masing.

“Kerjasama daripada semua pihak adalah penting untuk memberikan input terbaik bagi membantu ke arah penggubalan akta yang holistik dan efektif untuk mengurangkan kesan

pasca COVID-19 kepada rakyat,” katanya.