Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan sembilan lelaki termasuk seorang warga Bangladesh yang terlibat dalam kegiatan ulat parkir dalam operasi khas di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam semalam.

Operasi Khas Parkir Haram yang pertama kali dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan berlangsung selama 12 jam bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi.

Ia bagi memerangi kegiatan ulat parkir yang mengutip bayaran parkir secara haram daripada pemilik kenderaan.

Kesemua suspek ditahan berusia dalam lingkungan 28 hingga 53 tahun.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo berkata risikan dijalankan JPJ selama tiga hari dan aduan orang ramai itu mendapati mereka (ulat parkir) mengenakan bayaran parkir haram bermula RM5 hingga RM15 di kawasan terlibat.

Valluban memberitahu pemberita di sini hari ini, dalam operasi pertama di kawasan Uptown Seksyen 24 di Shah Alam, seramai lima lelaki berjaya ditahan dan tiga daripadanya didapati positif dadah jenis ganja.

“Seramai empat lelaki, termasuk seorang warga Bangladesh ditahan dalam operasi kedua di sekitar Kuala Lumpur meliputi Kampung Baru, Jalan Medan Tuanku, Jalan Dewan Sultan Sulaiman dan Ampang,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan direman selama tiga hari.

“Kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dan Jalan Duta pada Isnin ini,” kata beliau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak bayaran daripada mana-mana orang berkenaan penjagaan kenderaan bermotor.

Sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *