Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > JPB Akan Diperluas Ke Sarawak

JPB Akan Diperluas Ke Sarawak

BAGAN DATUK, Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) pada tahun ini akan memasukkan Sarawak sebagai lokasi terbaharu dalam siri jelajah tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sejak dilaksanakan pada 2016, program JPB telah menjelajah sehingga ke seluruh Semenanjung dan Sabah untuk membantu pelajar Melayu dan Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan serta kemahiran tinggi termasuk universiti awam.

Katanya ia merupakan langkah untuk mewujudkan peningkatan status sosial kepada anak-anak muda, sekaligus mempertingkatkan pendapatan isi rumah merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

“Ia merupakan kombinasi daya usaha pihak kerajaan dengan badan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta serta pihak swasta kerana kita harus menerobos keluar daripada kepompong ‘silo jumud’ apabila kita mahu menjadi negara maju dan perlu melangkah sederap,” katanya ketika berucap merasmikan majlis JPB 2018 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap menteri mentor JPB dan Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Kira-kira 5,000 pelajar lepasan SPM dari sekitar Bagan Datuk, Teluk Intan, dan Sabak Bernam mengunjungi lokasi pertama siri penjelajahan 2018 itu.

Sebanyak 32 lokasi melibatkan 92 kawasan Parlimen dipilih pada JPB 2018 dalam melaksanakan misi mencari, mengenal, membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera bagi meneruskan pengajian mereka ke peringkat tertinggi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk turut menegaskan jelajah JPB 2018 bukanlah langkah kempen politik bagi pilihan raya umum yang semakin dekat oleh kerana ia telah bermula sejak 2016 selaku agenda untuk mewujudkan mobiliti sosial secara vertikal kepada anak-anak muda di seluruh negara.

Justeru Ahmad Zahid meminta pihak jawatankuasa JPB 2018 mencapai sasaran 65,000 pelajar Melayu dan Bumiputera lepasan SPM untuk dimasukkan ke 37 institusi pendidikan dan kemahiran tinggi serta universiti awam yang menyertai jelajah ke seluruh negara itu.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi membantu pelaksanaan JPB 2018 dalam usaha meramaikan lagi anak-anak Melayu dan Bumiputera diberi peluang melangkah ke menara gading.

Sejak diperkenalkan pada 2016, JPB telah memberi memberi peluang kedua kepada 98,534 pelajar melanjutkan sijil, diploma, dan ijazah dalam bidang akademik dan teknikal dan vokasional TVET di negara ini.

Leave a Reply

Top