Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > JKDM Temui Ganja Dalam Kotak Kiriman Dari AS

JKDM Temui Ganja Dalam Kotak Kiriman Dari AS

BUTTERWOTH, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menemui empat bungkusan mengandungi 480 gram daun hijau dipercayai ganja dianggarkan bernilai RM4,800 dalam kotak permainan dikirim dari Amerika Syarikat (AS), hasil serbuan di sebuah pusat beli-belah di Georgetown pada Isnin lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penyelia butik pakaian di pusat beli-belah berkenaan turut ditahan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Johari Alifiah, berkata modus operandi terbabit pernah dikesan dalam kes penyeludupan dadah yang ditumpaskan JKDM, baru-baru ini.

“Taktik penjenayah menggunakan kreativiti membungkus pelbagai barangan dengan menyorok barang terlarang, sering digunakan sindiket penyeludupan dadah.

“Bagaimanapun, melalui risikan serta intipan dijalankan, kita berjaya menumpaskan kegiatan ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Susulan itu, Johari berkata, lelaki terbabit direman selama tujuh hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang awam sekali gus diseru terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855.

Leave a Reply

Top