MH Online

Laman Suara Rakyat

Jho Low Dan Beberapa Yang Lain Bersembunyi Di China

Jho Low Dan Beberapa Yang Lain Bersembunyi Di China

KUALA LUMPUR, Individu mendalangi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa suspek lain dipercayai bersembunyi di China.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, menggesa pihak berkuasa negara itu membantu memburu mereka.

Aset bernilai berbilion ringgit dicuri daripada 1MDB dan digunakan untuk membeli pelbagai barangan, daripada hasil seni sehinggalah aset hartanah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kehilangan kuasa pada 2018 berikutan pembabitannya dalam skandal itu dan didapati bersalah dalam satu perbicaraan berkaitan 1MDB minggu lalu, namun beberapa suspek lain masih bebas.

Suspek utama adalah Low Taek Jho atau Jho Low, ahli kewangan yang dikenali suka berhibur dengan selebriti terkemuka Hollywood dan didakwa menjadi dalang utama skandal berkenaan.

Polis Diraja Malaysia, minggu lalu berkata Jho Low dipercayai bersembunyi di Macau, namun Beijing dengan pantas menafikannya dan menegaskan mereka tidak menyembunyikan penjenayah antarabangsa.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata seorang wanita yang ditahan tahun ini didapati kerap menghantar dokumen kepada Jho Low di Macau, dan pihak berkuasa menyimpulkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan itu ada di sana.

Tambah beliau, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International yang juga sebahagian daripada 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, dipercayai berada di Hong Kong manakala seorang lagi bekas pegawai dana itu, Jasmine Loo, dipercayai berada di Shenzhen, China.

“Jho Low hampir bebas menjalankan urusannya di Macau dan kami memohon bantuan pihak berkuasa negara itu.

“Kami mahu pihak berkuasa negara itu, polis di Macau untuk bertindak secara bertanggungjawab. Tidakkah pihak berkuasa di Macau memiliki naluri polis untuk membantu kami,” katanya kepada AFP dalam satu temu bual.

Tambah Abdul Hamid, hubungan dengan polis Hong Kong merosot sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menjadi penghalang mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di sana.

Pihak berkuasa di Hong Kong dan Macau enggan memberi maklum balas langsung ketika diminta memberi kenyataan.

Justeru, kata Abdul Hamid, adalah sukar untuk menentukan sama ada beliau akan berjaya memburu Jho Low dan suspek lain.

“Selagi pihak berkuasa di Hong Kong atau Macau kurang memberikan kerjasama… adalah mustahil untuk saya memberi sebarang tarikh.

“Namun, kami tidak akan berhenti. Kami akan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya. – AFP