Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jenazah Tan Sri Sanusi Selamat Dikebumi

Jenazah Tan Sri Sanusi Selamat Dikebumi

KUALA LUMPUR, Jenazah bekas Menteri Pertanian Tan Sri Sanusi Junid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, pada kira-kira 3 petang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Sanusi dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Damansara sebelum disolatkan selepas solat Jumaat.

Allahyarham Sanusi, 74, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Pantai Dalam di sini kira-kira 6 pagi tadi dengan meninggalkan seorang isteri Puan Seri Nila Inangda Manyam Keumala dan tujuh anak, empat perempuan dan tiga lelaki.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada anggota keluarga dan sahabat terdekat berada di tanah perkuburan bagi pengebumian jenazah Allahyarham.

Turut kelihatan di tanah perkuburan ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Leave a Reply

Top