Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jawatankuasa Kerja Selaras Pertindihan Tugas Pertubuhan Diwujud

Jawatankuasa Kerja Selaras Pertindihan Tugas Pertubuhan Diwujud

PUTRAJAYA, Kerajaan akan mewujudkan Jawatankuasa Kerja bagi menyelaras isu pertindihan tugas antara pertubuhan berdaftar di bawah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan dan Kawal Selia Pertubuhan-Pertubuhan di Malaysia Bil 1/2018 yang dipengerusikan beliau di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerjasama dari segi pertukaran maklumat antara agensi kerajaan yang mempunyai bidang kuasa mendaftarkan pertubuhan akan diteruskan.

“Pada masa sama, pembabitan dalam mengurus persatuan atau pertubuhan akan terus diperkukuh bagi memastikan pengurusan pertubuhan di Malaysia diurus lebih efisien mengikut perundangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi berkenaan memberi tumpuan menyelaras isu berkaitan pertubuhan di Malaysia terutama membabitkan isu dasar, perundangan dan penguatkuasaan.

Ahmad Zahid berkata, sehingga kini sebanyak 110,524 pertubuhan berdaftar dikenal pasti di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Antaranya termasuk di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Pertahanan; Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang; Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan,” katanya.

Leave a Reply

Top