MH Online

Laman Suara Rakyat

Janji Bukan Jaminan Anwar Jadi PM-8

Janji Bukan Jaminan Anwar Jadi PM-8

Oleh : Shafezah Abdul Wahab

Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mula membuat persiapan untuk menjadi Perdana Menteri dengan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk lebih kerap berbincang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan proses peralihan kepemimpinan seperti mana dijanjikan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi laluan tersebut kepada beliau setelah memenangi Pilihan Raya yang lepas.

Adakah janji ini akan benar-benar akan ditunaikan atau hanya sekadar penyejuk hati dan gula-gula untuk menenangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Selagi Tun Dr Mahathir tidak menetapkan tarikh pengundurannya, pelbagai spekulasi terus dibuat bukan hanya dari kalangan rakyat malah anggota PH sendiri tidak berada di posisi yang selesa.

Datuk A Kadir Jasin, antara individu yang rapat dengan Tun Dr Mahathir dan juga Datuk Seri Anwar sendiri memberi jaminan bahawa peralihan kuasa ini akan berlaku dalam tempoh dua tahun atau lebih sikit di majlis Diskusi Anwar PM ke-8, semalam.

Namun, adakah Tun Dr Mahathir akan benar-benar melepaskan jawatan dalam masa beliau sedang empuk duduk di atas kerusi PM untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar? Laluan yang bagaimana?

Kita (Malaysia) sedang mengalami krisis kepimpinan menyebabkan rakyat yang sengsara. Perebutan kuasa dilihat lebih dititikberat berbanding pembangunan rakyat. Kepercayaan rakyat yang diberikan kepada PH pada tanggal 9 Mei 2018 seolah-olah diperjudikan untuk
kepentingan parti dan untuk Datuk Seri Anwar sendiri.

Tun Dr Mahathir telah berjaya mencatur langkah untuk semua parti dalam komponen PH. Beliau berjaya memberi angan-angan kepada wadah perjuangan reformasi yang menimbulkan harapan untuk Anwar menjadi PM ke-8.

Jika dilihat, amat mudah buat PKR dan sekutu terpengaruh dengan percaturan yang tidak sebenarnya untuk menzahirkan satu pakatan kononnya memperjuangkan agenda rakyat. Tun Dr Mahathir memang cekap dan seperti biasa semua tahu, sekali kuasa digenggam untuk
meleraikan bukan mudah. Tidak semudah Pak Lah yang disergah terus melepaskan jawatan. Tidak mustahil jika janji ini tidak ditunaikan. Maka musnah lah harapan para penyokong Datuk Seri Anwar melihat idola perjuangan terus tertipu dengan permainan politik.

Adakah golongan yang berhempas pulas memperjuangkan kepimpinan reformasi mereka, Anwar Ibrahim untuk PM Malaysia, akan melopong kerana terperangkap dalam politik Tun Dr Mahathir?
Hanya satu yang boleh dikatakan kepada penyokong Datuk Seri Anwar; bersedia lah untuk mencari ruang melaksanakan reformasi kedua, mahu menjatuhkan Tun Dr Mahathir sebagai PM.

Sejarah akan berulang kembali kerana kita gagal melihat atau kerana kita lupa. Sumpah Tun Dr Mahathir mengenai Melayu mudah lupa benar-benar mengena. PKR wadah perjuangan
reformasi, juga lupa. Hipotesis ini bukan kosong. Bacaan untuk Tun Dr Mahathir terus berusaha mencatur politik terhasil. Harus kita fikirkan, keadaan politik yang sentiasa bergolak seperti ini tidak menguntungkan rakyat sama sekali.

Kestabilan penting dan buat pengiraan yang betul tentang memilih siapa menjadi PM.

Adakah kita sanggup melihat parti yang kononnya diharapkan memberi harapan sebetulnya sedang bergolak untuk kepentingan politik tersendiri? Tidak ada kerusi PM ke-8 untuk Datuk Seri Anwar selagi Tun Dr Mahathir tidak mengumumkan pengunduran beliau secara terbuka, bukan hanya pada janji. Mungkin kena bersedia untuklaungan reformasi kedua.

Tidak dinafikan segala apa yang pernah disumbangkan untuk negara oleh Datuk Seri Anwar sebelum ini, namun titik fokus lebih utama sekarang adalah rakyat yang memilih. Jika Tun Dr
Mahathir tidak menunaikan janji ini, kredibiliti PH akan terjejas. Maka Tun Dr Mahathir wajar tunaikan serahan kuasa ini melalui rakyat sendiri.