Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jangan Uji Kesabaran Saya – Anwar

Jangan Uji Kesabaran Saya – Anwar

KUALA KANGSAR, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan pihak tertentu supaya tidak menguji kesabarannya dengan melakukan perkara yang boleh memecah-belahkan parti berkenaan.

Anwar berkata, selama ini beliau bersabar dengan sebarang pendapat dan pandangan sama ada di peringkat pemimpin mahupun akar umbi kerana memikirkan setiap orang mempunyai hak bersuara.

“Orang kata Anwar ni sabar sangat, kata (Datuk Seri) Shamsul Iskandar (Mohd Akin) kesabaran Anwar ni tahap dewa…. (tapi) jangan uji (kesabaran) saya.

“Saya sabar sebab saya fikir semua ada hak beri pandangan, tapi (jika) sebab kesabaran itu sampai beri gambaran parti pecah, parti lemah, saya tidak boleh (sabar lagi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen PKR Perak di Dewan Jubli Perak di sini malam tadi.

Anwar berkata, sebagai presiden parti, tanggungjawabnya untuk membina dan mengukuhkan parti serta menunjukkan kekuatan itu kepada rakyat dan pihak lawan.

Beliau juga yakin persepsi seolah-olah parti itu berpecah akan dapat ditangkis apabila konvensyen peringkat kebangsaan diadakan di Melaka hujung minggu ini.

Katanya, ia kerana dijangka perwakilan dan ahli daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang dari seluruh negara akan menghadirinya sekali gus menunjukkan PKR sekarang adalah lebih kuat dan teguh berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata ahli akar umbi masih kuat menyokong Anwar manakala yang menimbulkan masalah hanya segelintir pemimpin.

Katanya, ia dibuktikan menerusi konvensyen PKR negeri itu apabila lebih 4,000 perwakilan daripada semua Cabang menghadirinya.

Leave a Reply

Top