KUALA LUMPUR,  Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) telah mengenal pasti satu akaun di laman sosial Facebook atas nama “PINJAMAN PUNB” yang mengguna pakai logo dan namanya secara tidak sah untuk menawarkan pinjaman peribadi, perniagaan dan perkahwinan kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azhar Ahmad menegaskan PUNB tidak mempunyai sebarang kaitan, persamaan dan/atau hubungan dalam apa juga bentuk dan cara sekalipun dengan pemilik akaun Facebook PINJAMAN PUNB dan/atau mana-mana ejen atau wakil akaun berkenaan.

Akaun itu dikatakan menjalankan aktiviti memberi pinjaman peribadi/perniagaan/perkahwinan sebanyak 10 kali ganda gaji dengan menggunakan logo dan nama PUNB secara tidak sah, katanya di dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu boleh mengakibatkan salah tanggapan dan kekeliruan dalam kalangan bakal usahawan terhadap fokus perniagaan PUNB yang tertumpu kepada menyediakan pembiayaan  kewangan berlandaskan syariah kepada usahawan Bumiputera.

“PUNB memandang serius perkara yang tidak bertanggungjawab ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik akaun facebook PINJAMAN PUNB atau mana-mana ejen atau wakil pemilik akaun tersebut yang menggunakan logo dan nama PUNB,” katanya.

Sehubungan itu, PUNB menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dengan mana-mana entiti yang menggunakan logo dan nama PUNB untuk menjual pelbagai produk pembiayaan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi PUNB di talian bebas tol 1300-13-7862.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *