MH Online

Laman Suara Rakyat

Jangan Terpedaya Dengan Dakyah Pembangkang

Jangan Terpedaya Dengan Dakyah Pembangkang

TANJONG MALIM, Pengundi dan masyarakat di kawasan Slim diingatkan agar tidak  terpengaruh dengan pelbagai dakyah serta fitnah yang mungkin timbul menjelang saat-saat akhir tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kebiasaannya dalam PRK-PRK sebelum ini pelbagai cara dilaksanakan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan pelbagai risalah mahu pun penggunaan medium media sosial terhadap BN mahu pun calon itu sendiri.

‘’Selalunya dalam mana-mana PRK akan wujud sebaran-sebaran yang merupakan fitnah-fitnah kepada parti BN atau kepada calon BN. Oleh itu saya ingin berpesan kepada pengundi dalam kawasan DUN Slim ini agar jangan terpedaya dengan fitnah-fitnah tersebut termasuklah sebaran menerusi media sosial atau pun bercetak.

‘’Jadi sama-samalah kita bertekad bahawa calon BN Mohd Zaidi Aziz yang juga anak tempatan serta mempunyai pengalaman selain boleh diharapkan untuk menjadi pilihan malah beliau orang yang tahu di kawasan ini berbanding dengan calon bebas untuk kita pilih pada hari Sabtu ini,’’ katanya kepada media umno.

Sebelum itu beliau bersama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga calon BN, Mohd Zaidi Aziz berkempen pada Majlis Taqarrub di Dataran Medan Selera, Felda Besout 4, di sini, Selasa malam. Turut bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Maslan seterusnya mengajak jentera parti agar sama-sama meneruskan gerak kerja masing-masing kerana pemimpin pembangkang turun berkempen pada PRK tersebut.

‘’Jadi sepertimana yang telah diingatkan sebelum ini agar jangan leka terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekitar kita. Kelihatan pihak bebas sedang menyerang dan pemimpin-pemimpin pun dilihat turun dengan habis-habisan maka kita kena pertahankan habis-habisan DUN Slim ini.

‘’‘Kita sudah tidak mempunyai YB untuk Parlimen, DUN Behrang tidak ada juga dan di DUN Sungkai pun tidak ada juga. Hanya Slim ini harapan kita untuk menjaga kawasan Tanjung Malim, Behrang dan juga Sungkai dengan seorang ADUN yang berpengalaman dan boleh melaksanakan tanggungjawab dan  membawa  suara rakyat di DUN Slim ini ke peringkat negeri serta pusat,’’ ujarnya