KUALA LUMPUR, Pemimpin di peringkat akar umbi perlu tangkas dan berperanan lebih besar dalam menyampaikan kebenaran dengan sekali gus memperbetulkan persepsi negatif rakyat yang sering dikelirukan pembangkang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pembangkang kerap kali gemar menyelewengkan fakta dan seterusnya disebar luaskan menerusi media sosial sehingga yang batil menjadi benar, dan sering kali juga kerajaan menjadi mangsa dalam permainan persepsi ini.

Justeru, katanya, sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat, pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) perlu cekap dalam peranan mereka, seiring dengan cabaran semasa.

“Beritahu orang kampung, jangan mudah terpedaya dengan apa yang ada dalam media sosial. Dalam media sosial banyak pembohongan dan banyak juga pendapat. Tolong bezakan antara pendapat, fakta dan realiti. Itulah tugasan kita hari ini.

“Kalau dulu lain kerana tidak ada media sosial, (malahan) peranan ketua-ketua kampung, setiausaha JKKK tidak seberat dan sekompleks hari ini. (Sebaliknya) Hari ini, peranan kita berbeza. Kita mesti tahu medium baharu, mesti tahu ‘the new battlefield’ (medan perang baharu) iaitu media sosial…bagaimana kita nak lawan perang persepsi dan bagaimana nak baca isi hati rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen JKKK/JKKP dan Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini pada selasa.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi antara pemimpin yang turut hadir pada konvensyen itu bersama-sama lebih 10,000 pemimpin JKKK, JKKKP dan JKKKOA dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata pembohongan dan dakyah pembangkang meliputi pelbagai cara dan kaedah hingga ada dalam kalangan anggota Parlimen pembangkang yang terdesak mengambil foto jalan balak di Sarawak dan kemudian ditularkan kononnya itulah pembangunan yang telah dibuat kerajaan pusat di Sarawak.

“Ia jelas satu pembohongan sebab jalan luar bandar yang ada hari ini sebenarnya jauh lebih baik. Malah kita bina jaringan Lebuh raya Pan Borneo tanpa tol untuk Sabah dan Sarawak sebagai hadiah kerana menyokong kita,” katanya.

Najib berkata pembohongan itu tidak terhenti begitu sahaja malahan beliau dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut tidak terlepas daripada menjadi permainan bahan fitnah pembangkang.

“Saya juga sering menjadi mangsa pembohongan sebegini. Contohnya ada satu gambar saya di bilik hotel ketika di Beijing semasa melawat ke China. Isteri saya ada, menteri-menteri dan duta juga ada dengan saya tetapi dalam media sosial diviralkan (kononnya isteri saya hadir dalam mesyuarat jemaah menteri di Putrajaya.

“Sebab itulah kita mesti beritahu kepada rakyat bahawa apa-apa berita yang disampaikan, tolong selidik dahulu. Dalam Islam pun dianjurkan untuk kita guna konsep tabayyun, iaitu siasat (dan semak) dulu apa-apa berita yang disampaikan,” kata perdana menteri.

Sehubungan itu, Najib meminta semua pihak supaya bersikap lebih rasional apabila menerima sebarang berita, termasuk berkaitan dalam aspek pembangunan negara kerana rakyat perlu sedar bahawa sebarang perancangan berkaitan pembangunan, sememangnya mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

Selain itu, perdana menteri juga berharap supaya rakyat dapat melihat bahawa kerajaan turut menghadapi kekangan-kekangan yang di luar kawalan seperti masalah kemelesetan harga minyak dunia yang turut menjejaskan pendapatan dan ekonomi negara.

“Daripada perdana menteri pertama sampai kepada perdana menteri keenam, kita perlukan kesinambungan untuk mencapai apa yang kita impikan.., kita perlukan masa. Kadang-kadang negara hadapi kemelesetan ekonomi dunia yang di luar daripada jangkauan kita.

“Kejatuhan harga minyak di luar kuasa kita. Saya hairan tak pernah berlaku di negara lain kalau harga minyak naik pemimpin dipersalahkan, Tapi di Malaysia harga minyak naik perdana menteri kena kutuk.

“Adakalanya ia bukan kerana perdana menteri, (malahan) Arab Saudi pun tak boleh kawal harga minyak dunia.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin akar umbi perlu mendidik rakyat untuk memahami perkaitan isu global dan isu nasional supaya mereka lebih jelas dan memahami cabaran yang dihadapi kerajaan sebelum membuat sesuatu kesimpulan.

“Saya pasti, rakyat akan sedar bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang terbaik terutama untuk masyarakat luar bandar. Dari segi komitmen peribadi, saya tidak akan meninggalkan pembangunan luar bandar.

“Bila soal kemudahan asas luar bandar sudah selesai kita fikir macam mana pula nak naikkan pendapatan masyarakat luar bandar. Inilah kerajaan kita yang sentiasa prihatin untuk masyarakat luar bandar,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut memperkenalkan Skim Insurans Berkelompok kepada semua JKKK, JKKKP dan JKKKOA berkuat kuasa awal tahun depan yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 265,000 golongan itu di seluruh negara.

Selain itu, Najib turut melancarkan Kad Identiti JKKK, JKKKP dan JKKKOA yang antara lain memberi diskaun kepada pemegang kad di beberapa lokasi terpilih, sebagai bukti komitmen bahawa kerajaan sentiasa menjaga kebajikan kumpulan itu.

Perdana menteri juga menyampaikan sijil kepada peserta yang mengikuti program Sijil Tadbir Urus Desa, yang merupakan program kerjasama antara Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu, Kampung Baru Kemasik, Terengganu dinobatkan sebagai johan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan bagi kategori Kampung Tradisional, membawa pulang wang tunai RM100,000 dan hadiah berbentuk projek bernilai RM600,000.

Kampung Pengkalan Tereh, Johor pula muncul johan bagi kategori Kampung Orang Asli, manakala Rumah Bengau, Ng Sut, Kapit di Sarawak menjadi johan kategori Rumah Panjang, dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan hadiah berbentuk projek bernilai RM100,000.

Sebanyak 582 buah kampung menyertai pertandingan Anugerah Desa Perdana di peringkat daerah, 159 kampung di peringkat negeri dan bagi peringkat kebangsaan pula sebanyak 23 kampung dipilih mewakili negeri dalam kategori masing-masing.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *