MH Online

Laman Suara Rakyat

Jangan Minum Air Kencing

Jangan Minum Air Kencing

Jabatan Kesihatan Thailand semalam menasihatkan orang ramai supaya tidak mencontohi sesetengah rakyatnya yang minum air kencing serta menggunakannya untuk mencuci muka, amalan yang menjadi kegilaan di kalangan pengguna Facebook.

Timbalan Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Dr Amporn Benjapolphitak memberi amaran, organ seksual dan dubur banyak mengandungi bakteria yang mencemarkan air kencing sekali gus menjadikannya bahaya untuk diminum atau digunakan untuk mencuci muka atau mata, seperti yang dipromosi pengguna Facebook.

Amalan itu menjadi perbualan apabila seorang pengguna Facebook menulis bahawa sebuah sekolah di daerah Khon Kaen Phol menggunakan campuran air kencing dan herba serta memberinya kepada pelajar untuk diminum sebagai ubat sakit perut.

Seorang lagi penduduk di daerah Ban Pong Ratchaburi menulis, beliau kerap minum air kencing dan menggunakannya untuk mencuci mata dan luka sementara seorang jururawat berkata, dia juga minum air kencing dan mendidihkan serta menyuling air kencing untuk mencuci luka pesakit.

Sebuah saluran televisyen mewawancara beberapa orang yang mendakwa menulis pengalaman minum air kencing sendiri serta mencuci muka menggunakannya di Facebook.

Dr Amporn berkata, adalah benar air kencing digunakan sebagai ubat ketika zaman pemerintahan empayar Greek dan Roman namun mengatakan jangka hayat purata penduduknya antara 30 hingga 40 tahun.

Beliau mengakui teknologi perubatan sudah maju sejajar masa dan tiada kajian perubatan moden meluluskan penggunaan air kencing sebagai penawar penyakit.

“Ketika zaman dulu, air bersih sukar diperoleh, justeru air kencing dianggap sebagai air oleh sesetengah orang,” katanya menerusi laporan The Nation.

Beliau menjelaskan, krim untuk merawat jerawat mengandungi urea, sebatian ditemui dalam air kencing dan adalah lebih selamat membeli krim murah berbanding menggunakan air kencing yang tercemar untuk mencuci wajah mereka.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul menegaskan, hasil kumuhan tubuh tidak boleh dimakan atau diminum namun menambah, pihaknya tidak akan mengeluarkan pengumuman rasmi berkaitan perkara itu. -Agensi