TEMERLOH, Pengusaha produk kosmetik diingatkan untuk tidak melampau dalam mempromosi produk mereka dengan membuat dakwaan yang tidak disokong bukti saintifik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata mereka yang terlibat dalam industri itu perlu mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan kementerian semasa mengiklankan produk mereka.

“Jika mereka melampau dalam dakwaan mereka tanpa ada bukti saintifik, itu adalah satu kesilapan dan tindakan boleh diambil. Jadi, saya nasihatkan mereka untuk pastikan tiada situasi yang membolehkan kita mengambil tindakan,” katanya.

Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC,  berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen MIC Pahang ke-71 di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Beliau berkata  peraturan itu turut melibatkan peniaga produk yang menggunakan medium laman sosial termasuk mereka yang mengiklankan produk dari luar negara untuk pasaran tempatan.

“Kita boleh bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengenal pasti mereka yang terlibat jika melibatkan media sosial… jadi patuhi peraturan yang ada,” katanya.

Hari ini, media melaporkan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida didenda RM4,800 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya menyiarkan iklan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Vida selaku orang kena saman didakwa menyiarkan iklan berhubung produk Pamoga untuk mempengaruhi pengguna sebagai ubat atau penyembuh bagi merawat kulit melecur, meredakan sakit sendi dan melegakan sakit lutut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *