Dalam hal ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mungkin mempunyai azimat tersebut bersama-sama Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila berjaya memecah tembok berusia lebih 40 tahun untuk kembali menyaksikan kerjasama UMNO dengan Pas.

Pada hari pertama Himpunan Penyatuan Ummah yang berakhir malam ini, Mohamad dilihat berjaya menanamkan keyakinan kedua-dua ahli dan penyokong parti untuk mewujudkan kerjasama yang lebih berkekalan.

“Kita jangan lihat lagi perkara kecil (perseteruan UMNO dan Pas). Kita pandang ke depan. Buat macam kereta, cermin depan lebih besar berbanding cermin pandang belakang,” katanya bagi meniupkan semangat baharu kerjasama UMNO dan Pas.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana sempena penganjuran Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Turut hadir ialah Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kata-kata Mohamad itu menarik minat kira-kira 5,000 hadirin yang hadir termasuk penyokong Pas yang menurut permerhati, majoriti mereka datang memakai kopiah putih.

Beliau mempunyai reputasi mengagumkan apabila berjaya memenangi pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan walaupun pecahan kaum di kawasan tersebut agak seimbang yang kebiasaanya menjadi kawasan pasti menang buat Pakatan Harapan (PH).

Beliau terus memberikan keyakinan apabila menjelaskan bagaimana kerjasama UMNO dan Pas mudah dibentuk kerana kedua-dua parti mempunyai hasrat dan perjuangan yang sama.

Dalam ucapannya lagi, Mohamad turut menjelaskan beberapa kerisauan orang Melayu pada masa ini sejak PH menjadi kerajaan yang sering didakwa gagal membawa agenda Melayu.

Mohamad pada masa sama turut menjelaskan bagaimana ketidakcekapan pentadbiran PH jelas terpapar apabila hutang negara semakin meningkat dan bursa saham kehilangan berbilion ringgit.

HPU akan bersambung esok dan dijangka kedua-dua Presiden UMNO dan Pas akan menandatangani piagam kerjasama rasmi antara dua parti politik terbesar orang Melayu itu.