MH Online

Laman Suara Rakyat

Jangan Leka Amalkan Norma Baharu

Jangan Leka Amalkan Norma Baharu

KOTA TINGGI, Masyarakat diingatkan supaya tidak terus leka mengamalkan norma baharu bagi mengekang penularan wabak COVID- 19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperkatatkan (PKPD) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, ramai yang sedar mengenai punca dan cara mengekang jangkitan COVID- 19.

Katanya, ketika itu masyarakat peka dan mendengar nasihat penjagaan diri, mencuci tangan, mengamalkan penjarakan fizikal, mengelak 3S (crowded, confined, close) iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.

“Namun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan kita lihat amalan ini nampaknya belum menjadi budaya. Ada yang bersesak-sesak ketika beli-belah dan menggunakan lif selain tidak memakai pelitup muka. Bagaikan tidak takut maut.

“Mereka hanya risau dan takut apabila mendengar kes meningkat dan apabila ada penguatkuasaan PKPD di tempat-tempat tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Sesi Town Hall Pembudayaan Norma Baharu Di Dalam komuniti bagi mencegah penularan COVID-19 di Desaru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Chong Chee Keong; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Dr Adham berkata, amalan hendak diterapkan dalam norma baharu mengekang COVID-19 seharusnya menjadi budaya masyarakat sepanjang masa dan bukannya hanya ketika berlaku peningkatan kes aktif wabak berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang sebelum ini berkesan dalam memerangi wabak denggi kini akan diaplikasi dalam memerangi wabak COVID-19 seluruh negara.

Katanya, sukarelawan COMBI di seluruh negara akan digerakkan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap norma baharu dalam kalangan masyarakat.

“Sehingga September 2020, terdapat sebanyak 3,007 pasukan COMBI di seluruh negara membabitkan 26,191 sukarelawan yang akan digerakkan bagi memerangi COVID-19.

“Di Johor ada 25 pasukan COMBI yang berdaftar dengan pembabitan seramai 1,530 sukarelawan yang akan digerakkan bagi membantu melaksanakan program kesedaran norma baharu,” katanya.