MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Jangan Ikut Jejak Tok Pa’

'Jangan Ikut Jejak Tok Pa'

KOTA BHARU, UMNO Kelantan merayu kepada semua pemimpin akar umbi supaya tidak mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu, sebaliknya terus setia dengan perjuangan parti.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pemimpin bawahan parti itu yang tidak tahan dengan ujian akan mengambil jalan mudah meninggalkan parti.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, UMNO adalah sebuah parti yang besar dan banyak berjasa kepada negara selepas lebih 60 tahun menjadi kerajaan dan disebabkan itu, ramai pemimpin dilahirkan sehingga hari ini.

“Melihat semua pencapaian UMNO adalah antara sebab kita tidak boleh tinggalkan UMNO. Takkan mahu keluar daripada kapal besar dan mahu masuk ke kapal yang kecil di saat dunia politik sedang bergelora ketika ini.

“Saya tidak kata ramai yang akan keluar tapi tidak dinafikan terdapat tindakan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR cuba untuk memancing mereka, namun masih gagal.

“Saya perlu mengeluarkan isi hati saya bagi memohon supaya semua pemimpin dan ahli UMNO perlu kekal. Kita baru saja empat bulan jadi pembangkang dan ini bukan kali pertama kita menjadi pembangkang,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai namanya turut tersenarai antara pemimpin UMNO yang akan keluar parti seperti mana tular sebelum ini, Ahmad Jazlan menafikan perkara itu, sebaliknya tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan selepas memenangi kerusi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu atas tiket UMNO.

Katanya, beliau akan terus istiqamah dengan perjuangan UMNO sehingga ke penghujung walaupun banyak ujian dan dugaan melanda parti itu.

“Soal tekanan terpulang kepada kerajaan kerana mereka mempunyai kuasa untuk menyiasat terutama berkaitan dana politik kerana kita yakin UMNO Kelantan tidak salah.

“Cuma saya nak jelaskan mana ada parti politik yang tidak menggunakan dana politik tapi kenapa hanya UMNO disiasat, bukankah parti lain turut menggunakan dana politik seharusnya disiasat?

“Buat masa ini akaun UMNO Kelantan dan beberapa bahagian termasuk Machang masih dibekukan,” katanya.