Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menasihatkan para majikan agar segera mendaftarkan pekerja masing-masing dengan hadir sendiri ke pejabat-pejabat Imigresen tanpa melalui orang tengah atau ejen.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dalam kenyataannya seperti dilaporkan agensi berita tempatan pada Sabtu berkata, ia bagi mengelakkan majikan daripada ditipu oleh individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengaut keuntungan melalui program tersebut.

“JIM telah berjaya mendaftarkan sebanyak 3,722 majikan melibatkan seramai 22,125 pekerja asing tanpa izin (PATI) dan sebanyak 20,108 E-Kad berjaya dikeluarkan setakat ini,” katanya.

Mustafar berkata majikan perlu segera mendaftarkan pekerja mereka memandangkan program E-Kad yang akan berakhir pada 30 Jun ini tidak akan dilanjutkan.

 “Setelah tempoh berakhir, mana-mana majikan yang didapati menggaji PATI secara tidak sah atau tanpa berdaftar melalui apa-apa program yang berkuat kuasa pada masa ini akan diambil tindakan penguatkuasaan serta dikenakan hukuman yang berat mengikut peruntukan perundangan sedia ada,” katanya.

Bagi kesalahan menggaji PATI tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 yang mengenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Hukuman sebat juga boleh dikenakan jika majikan menggajikan lebih daripada lima orang pekerja tanpa pas yang sah, katanya.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan.

Program yang diperkenalkan pada 15 Feb 2017 ini dilaksanakan di 13 negeri di Semenanjung Malaysia pada masa ini.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *