MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Jangan Buat Andaian’

'Jangan Buat Andaian'

KEPALA BATAS, Semua pihak diingatkan supaya tidak membuat sebarang andaian melampau membabitkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, persepsi yang mengatakan hak Melayu terhapus, raja dan agama Islam akan tergugat sekiranya kerajaan menandatangani perjanjian antarabangsa adalah tidak benar sama sekali.

“ICERD tidak akan sesekali mengubah entiti sesebuah negara yang ada dari sudut perlembagaan, kebudayaan dan apa jua perkara berkaitan negara, jadi kita bimbang dalam keghairahan ramai pihak mengenai isu ini ada menggambarkan dengan fakta-fakta tidak betul.

“Andaian yang mengatakan jika ditandangi perjanjian ini maka hak orang Melayu akan terhapus, raja dan agama Islam tergugat sama sekali tidak betul. Andaian yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab boleh mencetuskan persepsi negatif dan keretakan hubungan antara kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Mahrajan Interaktif Kafa Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Millenium, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan meja bulat esok untuk berbincang serta mengambil pandangan dari semua pihak berhubung isu ICERD.

“Semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menghadiri rundingan ini bagi mendapatkan input termasuk melihat kandungan memorandum yang dihantar pelbagai pihak.

“Ia bagi membolehkan Perdana Menteri, mendapatkan maklumat lengkap dan gambaran jelas. Dalam masa sama, kita mengambil nasihat daripada Tun Mahathir supaya tidak akan menandatangani mana-mana perjanjian antarabangsa selagi ia tidak mendapat rundingan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, segala perjanjian antarabangsa yang dibuat juga ia akan berakhir sehingga mendapat keputusan penggubalan undang-undang di peringkat Parlimen.

“Ia bermakna perkara ini akan dibawa ke peringkat Parlimen untuk dibahaskan dan mendapat persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam yang tular baru-baru ini.

Jelasnya, sejurus perkara berkenaan tersebar, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Jaipp), Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan.

Menurutnya, pihak yang berbuat demikian dipercayai wakil daripada NGO namun tidak mewakili gereja dan persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.

“Saya nasihat supaya jangan menimbulkan masalah kerana kena hormat Perlembagaan Persekutuan, kita siasat sama ada Bible itu diedarkan kepada umat Islam atau tidak.

“Semua pihak perlu faham Artikel 11 (4) bahawa agama lain bebas diamalkan tetapi tidak boleh didakwah kepada orang Islam,” katanya.