MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Jangan Bohong, Ikut Ajaran Islam’

'Jangan Bohong, Ikut Ajaran Islam'

PETALING JAYA, PKR menegur PAS supaya tidak berbohong dan berpegang kepada ajaran Islam susulan semakin terdedah bukti parti itu membayar RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown

Teguran itu disuarakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil menyifatkan penafian demi penafian dilakukan PAS dalam isu berkenaan hanya mendedahkan lagi sikap parti itu gemar berbohong.

“Semakin hari semakin terdedah. Saya fikir moral pengajaran peristiwa ini, setiap pembohongan akan terbongkar akhirnya. Kita berbohong sekali, kita berbohong kali kedua untuk menutup pembohongan pertama.

“Kita bohong kali ketiga untuk tutup pembohongan kedua dan pertama. Kemudian kita bohong kali keempat untuk tutup bohong ketiga, kedua dan pertama. Itu yang berlaku sebenarnya. Ia sebenarnya lebih mudah kalau PAS mengambil pendekatan berterus terang apakah penyelesaian di luar mahkamah itu dibuat dengan membabitkan bayaran tertentu.

“Bayaran tak semestinya daripada poket atau akaun Presiden PAS. Bayaran boleh saja dalam bentuk individu yang diutuskan untuk ‘brokered the deal’ (menyelaras rundingan) dan kelihatan fakta yang terdedah sekarang menjurus ke arah itu.

“Saya biarkan pada rakyat untuk membuat penilaian dan prinsipnya yang kita pelajari dan berdasarkan kepada nilai Islam, kita tidak boleh berbohong, itu pengajarannya,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Sulung Lukisan Badariah Abdul Hamid di sini, hari ini

Semalam, peguam Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu mengesahkan anak guamnya menerima bayaran RM1.4 juta daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi pihak ketiga.

Rewcastle-Brown berkata pembayaran itu diselesaikan menerusi akaun ‘escrow’ (disimpan pihak ketiga) peguam iaitu Americk.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, orang ramai terutama netizen perlu menerima hakikat yang PAS sudah membuat pembayaran kepada Rewcastle-Brown menerusi cek ke dalam akaun yang sah.

Katanya, siasatan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli jelas membuktikan akaun berkenaan wujud menerusi percubaannya hendak memasukkan RM10 ke dalam akaun yang tercatat pada cek yang tersebar di media sosial.

“Yang kata akaun itu palsu ialah Nasarudin Tantawi (Ketua Penerangan PAS) dan yang mengesahkan akaun itu adalah Rafizi seorang akauntan bertauliah, Clare dan peguamnya,” katanya.

Mengulas persiapan PKR menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Saifuddin berkata, PKR akan membentangkan laporan mesyuarat dan pemilihan calon dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Sabtu ini.

Katanya, mesyuarat Biro Politik PKR pada Rabu lalu bersetuju memberi masa kepada kepemimpinan PKR Negeri Sembilan untuk membincangkan persiapan, menilai prestasi dan memilih calon sebelum 9 Mac ini.

“Yang pasti, PKR akan bertanding di DUN itu mewakili PH berdasarkan ‘status quo’ yang kerusi berkenaan sebelum ini ditandingi PKR,” katanya sambil mengakui pengaruh kuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau.

Namun beliau percaya PKR mampu menang di kerusi berkenaan berdasarkan rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang menunjukkan undi dari DUN itu bagi Parlimen Rembau memihak kepada PH.