SHAH ALAM, Seorang janda kaya berusia 49 tahun kerugian kira-kira RM7.9 juta akibat ditipu seorang individu yang dikenalinya melalui laman sosial yang menjual nombor ramalan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata wanita itu menyedari ditipu selepas lelaki berkenaan gagal memberi nombor ramalan yang dijanjikan walaupun dia telah membayar sejumlah wang melalui 22 transaksi dari Julai hingga September lalu.

“Mangsa mengenali lelaki ini di laman sosial yang mendakwa dia bekerja di sebuah syarikat nombor ramalan di Hong Kong pada Julai lalu.

“Lelaki ini telah memperdaya mangsa dengan menawarkan nombor ramalan yang telah memenangi hadiah sebanyak RM5.5 juta (USD 1.3 juta). Mangsa bagaimanapun perlu membayar sebanyak RM102,300 untuk membeli nombor berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata selepas membuat bayaran pertama, mangsa diarahkan membuat beberapa lagi bayaran ke dalam empat akaun bank yang berbeza bagi tujuan pembayaran cukai.

“Mangsa membuat laporan polis semalam kerana berasa ditipu kerana sehingga kini beliau tidak menerima nombor berkenaan,” katanya.

Shamsul Amar berkata wanita itu mewarisi harta mendiang suaminya yang merupakan seorang jutawan yang mempunyai syarikat selain menjadi pemegang saham di beberapa syarikat yang lain selain menerima wang insurans kematian suaminya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *