Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jadikan Kimanis Medan Pungutan Suara Rakyat

Jadikan Kimanis Medan Pungutan Suara Rakyat

BONGAWAN, UMNO menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sebagai satu pungutan suara untuk menilai sejauh mana sokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjelaskan walaupun pilihan raya itu tidak mengubah kedudukan kerajaan sedia ada, ia penting untuk memberi mesej kepada mereka.

“Pada 18 Januari ini adalah hari pungutan suara. Kita tahu apa yang bakal terjadi kepada Kimanis tidak akan mengubah kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

“Namun, ini bukan soal untuk menubuhkan kerajaan. Jika WARISAN menang di Kimanis, pada 19 Januari kerajaan akan umumkan rakyat setuju dengan Pas Sementara Sabah (PSS) kerana mereka menang di Kimanis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan di Kampung Malawaring, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran turut menyifatkan PRK Kimanis sebagai pertaruhan masa depan yang akan menentukan nasib rakyat Kimanis dan Sabah keseluruhannya.

Beliau mendakwa, walaupun hanya pengundi di Kimanis yang akan mengundi pada 18 Januari ini, rakyat Sabah di seluruh negeri sudah tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih semula kerajaan.

Sehubungan itu, katanya keputusan PRK Kimanis ini membawa mesej yang jelas sebagai amaran kepada kerajaan.

Leave a Reply

Top