Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Itu Cuma Tafsiran’

‘Itu Cuma Tafsiran’

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan desas-desus 40 Ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menyekat laluannya menjadi Perdana Menteri hanya tafsiran media semata-mata.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, kerana ‘prihatin’ akan perjalanannya dalam arena politik.

“Ini semua bacaan dan tafsiran media yang percaya ada ‘intrigue’ akan berlaku… konspirasi berulang sejak 1998.

“Saya tidak ada sebab untuk mencurigai perjanjian dan persefahaman antara kita (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad),” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan Annuar dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, menganggap provokasi itu ibarat mahu menyekat kemaraan Anwar.

Anwar berkata, tindakan mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH), menerima Ahli Parlimen UMNO yang mahu melompat parti akan memberi kesan terhadap pengundi PH.

“Itulah yang harus dipertimbangkan. Ini adalah negara demokratik.

“Kita ada pilihan dan perlu ada perbincangan antara parti membabitkan garis penentu dan meneliti isu berbangkit, sama ada kita perlu berkompromi atau sebaliknya,” katanya.

Leave a Reply

Top