KUALA LUMPUR, Teka-teki siapakah yang layak memegang jawatan Peguam Negara masih belum terjawab dan terus menimbulkan persoalan banyak pihak.

Reaksi pihak istana dan keputusan Raja-Raja Melayu dilihat seperti ada ‘ketegangan’ dalam menentukan individu yang sesuai menjawat jawatan tersebut.

Jawatan yang dianggap ‘panas’ dalam kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan

Sebuah portal melaporkan, surat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menulis kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memohon perkenan agar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas masih belum mendapat maklum balas dari pihak istana.

Menurut laporanan itu, ia sekali gus menimbulkan persoalan adanya ketegangan yang berlaku antara kerajaan dan pihak istana.

“Empat parti gabungan dalam Pakatan Harapan merasakan pelantikan tokoh yang dihormati dalam bidang perundangan itu akan menghantar isyarat jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa kerajaan baharu ini serius hendak membetulkan institusi negara yang telah tercalar.

“Pelantikan itu juga diharap akan menjamin adanya seorang peguam yang cekap dalam perbicaraan yang boleh mengendalikan kes tumpuan termasuk pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Namun surat perdana menteri kepada pihak istana itu tidak ada tindakan selanjutnya, membawa kepada ketegangan antara kerajaan dan istana,” lapor portal itu.

Malah, pihak istana meminta kerajaan menggugurkan nama Thomas yang juga bekas Presiden Majlis Peguam dan beberapa nama lain dikemukakan kepada Dr Mahathir termasuk seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan seorang hakim mahkamah rayuan.

“Difahamkan Raja-Raja Melayu yang lain juga menyokong pendirian Yang Di-Pertuan Agong. Mereka dikatakan bertegas seorang peguam negara hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin juga menulis di blognya menyatakan Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan batas kuasa raja berperlembagaan.

Menurutnya, jawatan utama itu mesti disandang orang Melayu.

“Ya, memanglah kalau boleh orang Melayu mahu Melayu menyandang semua jawatan penting, tetapi apa gunanya kalau Melayu yang berjawatan tinggi itu zalim, perasuah dan bersubahat dengan penyangak dan pencuri,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Dr Mahathir berkata, buat masa ini Malaysia tiada peguam negara yang layak untuk berkhidmat bagi kerajaan Harapan.

Beliau mendakwa, peguam negara terdahulu terlibat menyembunyikan bukti salah laku dalam skandal 1MDB.

Mohamed Apandi mula dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 27 Julai 2015 bagi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang menamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan.

Beliau merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) di Terengganu dan Kelantan pada tahun 1977 hingga 1990.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *