Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Israel Siap Sedia Roboh Rumah Warga Palestin

Israel Siap Sedia Roboh Rumah Warga Palestin

Pihak berkuasa Israel sedang bersiap sedia untuk merobohkan kediaman berhampiran sekatan tentera di pinggir Baitulmaqdis, walaupun berdepan bantahan masyarakat antarabangsa dan rakyat Palestin.

Beberapa jentolak, yang dikawal ratusan tentera dan polis Israel dibawa ke Sur Baher, iaitu satu perkampungan Palestin di pinggir timur Baitulmaqdis, yang dikuasai dan diduduki Israel pada Perang Asia Barat pada 1967.

Sebelum ini, rakyat Palestin menyatakan kebimbangan mengenai tindakan memusnahkan bangunan di kampung berhampiran tembok itu.

Mereka khuatir ia bakal menjadi permulaan terhadap tindakan sama bagi bandar lain di sepanjang sekatan terbabit.

Sekatan itu dibina ratusan kilometer di sepanjang wilayah yang diduduki Israel di Tebing Barat.

Penangguhan aktiviti merobohkan bangunan itu adalah sebahagian pertikaian berpanjangan, bagi menentukan masa depan Baitulmaqdis, yang didiami lebih 500,000 rakyat Israel dan 300,000 rakyat Palestin, selain lokasi tapak suci bagi agama Yahudi, Islam dan Kristian.

Pada Jun lalu, Mahkamah Agung Israel memutuskan struktur berkenaan melanggar larangan pembinaan di kawasan terbabit dan tarikh akhir bagi penduduk memusnahkan kediaman itu tamat pada Jumaat lalu. – Reuters

Leave a Reply

Top